Jalan Hang Tuah antara pilihan lokasi baru sambutan merdeka 2020

Jalan Hang Tuah antara pilihan lokasi baru sambutan merdeka 2020

Satu cadangan yang baik daripada Ketua Menteri

AYER KEROH 6 Sept. – Sambutan kemerdekaan peringkat Negeri Melaka pada tahun depan bakal diadakan di lokasi baru yang akan dikenal pasti, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau berkata, lokasi baru yang dirancang itu perlu bagi menampung jumlah penyertaan kontinjen perbarisan dan kehadiran orang ramai yang agak besar.

“Kawasan sambutan kemerdekaan pada tahun ini di Banda Hilir agak sesak.

“Jadi kita perlukan lokasi baru yang lebih selesa yang membolehkan lebih banyak pihak terlibat dalam sambutan kemerdekaan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Seri Negeri di sini hari ini.

Kerajaan negeri, kata Adly, sedang mempertimbangkan beberapa cadangan untuk lokasi baru tersebut termasuk di Jalan Hang Tuah.

Pada 31 Ogos lalu, sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 peringkat negeri diadakan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan berkenaan disertai 177 kontinjen daripada pelbagai agensi membabitkan 9,054 peserta mengambil bahagian.

Dataran Pahlawan menjadi lokasi tetap bagi kerajaan negeri untuk mengadakan sambutan kemerdekaan setiap tahun.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS