ITP: PH penuhi harapan rakyat Melaka

ITP: PH penuhi harapan rakyat Melaka

Kerajaan PH Melaka penuhi hasrat rakyat yang mahukan perubahan...

KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lalu membuktikan rakyat mahukan perubahan dalam mengharungi kehidupan yang lebih sejahtera.

Selepas setahun melayarkan bahtera, perubahan demi perubahan yang dibawa Kerajaan PH Melaka berteraskan manifestonya semakin menampakkan kesan kepada rakyat negeri ini.

Berdasarkan kajian Institut Tun Perak (ITP), bidang ekonomi paling banyak diberi perhatian oleh rakyat negeri Melaka dalam manifesto yang ditawarkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Zaipul Anwar Zainu mendapati 10 keperluan rakyat yang sering dimainkan itu menepati setiap kategori yang disenaraikan dalam manifesto yang ditawarkan.

“Antara 10 keperluan terbabit diikelaskan mengikut kekerapan dan mendapati lima kategori utama ini sering dibahaskan responden dari kajian ini bermula daripada ekonomi dan diikuti kategori politik, sosial, pendidikan dan perumahan.

“Selain, lima kategori lain yang menjadi keperihatinan rakyat adalah agama diikuti pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), belia dan pengangkutan,” katanya ketika ditemui MelakaKini di pejabatnya, semalam.

Jelas Zaipul, isu berkaitan ekonomi mencatat peratusan tertinggi dengan 43.6 peratus direkodkan dengan hampir separuh daripada carta pai menunjukkan rekod tertinggi daripada kajian itu.

Melalui kategori itu, isu utama ialah usaha menurunkan kos sara hidup yang menjadi keutamaan rakyat.

“Perkara ini pula diikuti dengan hasrat pembinaan rumah mampu milik ataupun dikenali rumah kos rendah, peluang pekerjaan, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan kenaikan gaji.

Melalui statistik direkodkan, setiap manifesto ditawarkan itu menepati keperluan yang diutamakan rakyat ini malah kebanyakannya telah ditunaikan demi menepati hasrat mereka.

Secara umumnya, ramai mengkritik bahawa manifesto kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan namun sebaliknya melalui kajian tersebut mendapati kerajaan negeri telah memenuhi kehendak warga Melaka.

Menurutnya, antara 20 kategori manifesto terbabit terdiri daripada 86 janji yang ditawarkan kerajaan negeri malah rata-ratanya telah dipenuhi berdasarkan keutamaan kategori berkenaan.

Jelas laporan itu, sebanyak 75 daripada 86 janji manifesto tersebut telah dilaksanakan dan termasuk masih dalam pelaksanaan malah hanya 11 sahaja lagi yang belum ditunaikan.

“Melalui kajian ini ia dikaji melalui sebuah aplikasi di laman web dikenali sebagai ‘polimeter’ yang merekodkan setiap manifesto parti-parti politik negara ini sama ada ditunaikan mahupun tidak.

Malah, ‘polimeter’ juga menyenaraikan setiap aspirasi kerajaan ini melalui kenyataan rasmi dikeluarkan media tempatan bagi menilai pencapaian kerajaan melalui manifesto ditawarkan.

“Perkara ini menunjukkan kerajaan negeri berjaya memenuhi hasrat rakyat namun rakyat hanya mengkritik dan memberi persepsi sebaliknya.

“Sebenarnya, rakyat hanya menumpukan manifesto persekutuan dan tidak menilai manifesto yang ditawarkan kerajaan negeri sehingga menimbulkan persepsi sendiri.

“Hasil kajian, kerajaan seharusnya memainkan peranan bagi memberi pendedahan rakyat tentang pencapaian berikut melalui pelbagai platform di negeri ini,” katanya

CATEGORIES
TAGS