Anwar tak setuju Azmin direhatkan

Anwar tak setuju Azmin direhatkan

Apa yang dinyatakan oleh DS Anwar tu memang betul kerana DS Azmin belum didapati bersalah berhubung isu video berkenaan. Serahkan pada pihak berkuasa jalankan siasatan.

AYER KEROH 14 Jun – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan gesaan beberapa pemimpin dalam parti itu yang meminta kerajaan merehatkan sementara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada kabinet ekoran isu video intim seks sejenis yang tular baru-baru ini.

Tegasnya, sebarang keputusan berhubung gesaan itu perlu mengambilkira hasil siasatan pihak berkuasa terhadap isu video intim seks sejenis berkenaan.

“Setakat ini saya tidak cenderung dengan otai reformasi kerana siasatan masih awal dan kita yang¬† berpengalaman ini mesti bagi ruang.

“Tidak boleh terburu-buru macam pandangan otai reformasi, itu pandangan mereka, saya tidak setuju.

“Kita bincang dalam mesyuarat pimpinan biro politik PKR beberapa hari lagi.

“Saya tidak melarang orang memberi pandangan, setuju atau kritik, saya mintak rakan-rakan faham PKR harus amalkan budaya bebas dan demokratik, setiap keputusan itu boleh dikemukakan.

“Cuma kita harus kurangkan kenyataan dan beri ruang kepada siasatan dan beri ketenangan kepada Mohamed Azmin dan keluarga, saya tidak setuju banyak sangat pakar buat tuduhan seolah-olah siasatan dah selesai, ini bagi dia syok sendiri tapi kesannya tidak positif kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di Kota Fesyen Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang juga Ketua Penerangan PKR dan Pengerusi PKR negeri.

Sementara itu, Anwar berkata, PKR memerlukan masa untuk memberi penjelasan kepada akar umbi untuk menjernihkan kembali situasi berhubung isu terbabit.

“Ambil masa sikit kerana masalah sekarang tengah panas dan ada orang ambil kesempatan.

“Saya juga bimbang dengan amalan atau politik seperti ini kerana ia menjadikan politik suatu perkara yang meresahkan,” katanya.

Beliau telah berjumpa dengan Mohamed Azmin dan meminta dia bertenang dan bersabar dengan apa yang berlaku.

“Sebagai abang dan sahabat sudah tentulah saya lahirkan rasa simpati dan prihatin serta mencadangkan beberapa perkara agar dia menggunakan kebijaksanaan untuk bersabar dan sebagainya,” katanya.

CATEGORIES
TAGS