Istiadat Konvokesyen KUIM: Nurul Auni raih Anugerah Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda

Istiadat Konvokesyen KUIM: Nurul Auni raih Anugerah Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda

Semoga Allah teruskan kejayaan Nurul Auni....

KUALA SUNGAI BARU – Pembelajaran beberapa tahun dalam bidang yang berbeza juga telah membuahkan hasil graduan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Nur Auni Jamaluddin selepas menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda.

Menurutnya yang menerima anugerah pada Istiadat Konvokesyen KUIM kali Ke-23 itu merupakan hasil daripada kesungguhannya di dalam pengajian Sarjana Muda Psikologi walaupun pengajian itu ‘tersasar’ dari pengajiannya sebelum ini.

Jelasnya, beliau yang menuntut pengajian Diploma Undang-Undang dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) berhasrat meneruskan pengajian Sarjana Muda ke bidang Psikologi
namun tidak diluluskan terhadap permohonannya melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

“Disebabkan itu, saya memilih KUIM dan akhirnya diluluskan untuk kemasukan saya bagi menimba ilmu psikologi di negeri ini.

“Walaupun berasal dari Kelantan, saya tetap nekad menimba ilmu di negeri bersejarah ini kerana bagi saya selagi jauh perjalanan dalam mencari ilmu Tuhan semakin luaslah ilmu yang dimiliki.

“Perasaan ‘homesick’ itu tidak pernah ada di dalam diri saya, bagi saya biarlah berjauhan dengan keluarga asalkan redha ibu dan bapa sudah cukup untuk memberkati perjalanan saya dalam mencari ilmu ini,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Ditanya apakah rahsia kejayaannya itu, beliau menjawab, menghargai setiap pengorbanan guru dan pensyarah merupakan kunci kepada kejayaannya itu.

“Hidup ini memerlukan keberkatan dan saya sehingga hari ini sering mengingati jasa guru saya dari sekolah rendah sehinggalah pensyarah yang mengajar saya selama ini.

“Hubungan dengan mereka perlu dijaga kerana merekalah yang mencurahkan ilmu ke atas diri kita.

“Selain itu, setelah berusaha, yang penting berdoa dan bertawakal kepada Allah itu juga penting sekali bagi menyerahkan segala ketentuan kita kepada-Nya.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa, keluarga dan rakan yang banyak memahami perjalanan saya selama ini sokongan itu saya tidak akan berjaya seperti hari ini.

“InsyaAllah saya akan meneruskan pengajian saya melalui bidang sama iaitu Psikologi Klinikal jika diberikan rezeki,”katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES