Ingat…tidak boleh memancing di Pulau Besar!

Ingat…tidak boleh memancing di Pulau Besar!

Jangan sesuka hati memancing di Pulau Besar

PULAU BESAR 12 Nov. – Mungkin ramai yang kurang menyedari bahawa Pulau Besar adalah antara lokasi larangan memancing mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994.

Timbalan Pengarah Perikanan, Doreen Wee Siew Leen berkata, larangan tersebut bagi mengekalkan pemeliharaan terumbu karang semulajadi di sekitar Pulau Besar.

Katanya, larangan yang diwartakan pada 1994 itu bagi menjaga sumber perikanan dalam tempoh jangka panjang.

“Pada 2017, kita di pihak Jabatan Perikanan telah melabuhkan tukun di mana tukun tersebut diikat bersama batu karang semulajadi di perairan Pulau Undan sebagai usaha memelihara kepelbagaian terumbu karang.

“Di sekitar Pulau Besar pula turut dilarang untuk mengutip cengkerang, moluska atau karang kerana larangan tersebut tertakluk di bawah Peraturan 3, tiada seorang pun boleh membunuh atau menangkap ikan dalam kawasan larangan kecuali mempunyai lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi MelakaKini hari ini.

Jelas Doreen, di bawah Akta 317 turut menyatakan Pulau Besar sebagai pengkalan perikanan.

“Terumbu karang semulajadi banyak terdapat di sekitar Pulau Besar dan kita perlu memelihara kawasan berkenaan daripada diceroboh atau melakukan aktiviti memancing, menangkap ikan yang merupakan satu kesalahan.

“Ini kerana terumbu karang di Pulau Besar itu kebanyakan menjadi lokasi pembiakan anak-anak ikan sekali gus melindungi hidupan laut yang terancam ini daripada terus pupus,” katanya.

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikompaun dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan larangan taman laut.

“Kawasan larangan taman laut ini bermula dari perairan kelautan dalam kawasan satu batu nautika dari titik paling luar Pulau Besar yang diukur pada tikas air surut dan tiada aktiviti menangkap ikan yang dibenarkan di kawasan pulau ini,” tegasnya.

CATEGORIES