Ikan Betta terus popular, mampu jana pendapatan

Ikan Betta terus popular, mampu jana pendapatan

Kalau kena gayanya memang boleh mendapat pendapatan lumayan dengan perniagaan Ikan Laga ini

BATU BERENDAM 5 Sept. – Ikan Betta atau lebih dikenali sebagai Ikan Laga sememangnya terkenal sejak dahulu lagi.

Namun ia tidak terlalu komersial berbanding hari ini.

Boleh dikatakan peminat ikan ini semakin meningkat sejak akhir-akhir ini kerana ia mempunyai potensi besar dalam bidang perniagaan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk. Dr. Bah Piyan Tan, di Melaka sahaja terdapat 124 penternak Ikan Betta di bawah Kelab Betta Melaka.

“Kita lihat ikan ini mempunyai potensi sangat besar dari aspek perusahaan. Di Malaysia, ikan ini antara diminati dan cara menternaknya sangat mudah berbanding ikan lain.

“Jika dulu ada yang memeliharanya kerana minat tetapi sekarang ada usahawan yang telah menjadikan ikan ini sebagai produk perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas potensi Ikan Betta di negara ini pada sidang media selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Perikanan Negeri Melaka di sini, tadi.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri, Johari Tim.

Tambah beliau, Ikan Betta mempunyai tarikan tersendiri mengikut jenis, warna, bentuk dan ciri-ciri dimilikkinya.

“Ia pernah dijual pada harga tinggi mencecah ratusan dan ribuan ringgit. Kerana itu saya katakan ia mempunyai faktor meluas bagi seseorang pengusaha itu,” katanya.

Jelasnya, pelbagai bantuan dan peruntukan turut disediakan di bawah jabatan itu bagi mereka yang berminat menceburi bidang ini.

“Di Melaka terdapat lapan penternak Ikan Betta yang telah menerima manfaat daripada jabatan ini untuk meningkatkan penternakan mereka.

“Kira-kira RM50,000 dibelanjakan bagi tujuan akuarium, tangki, rak dan keperluan lain,” katanya.

Selain itu terdapat juga pusat latihan di Perak yang memfokuskan kepada pengurusan Ikan Betta dan ikan hiasan lain.

“Di sini pengusaha berminat akan diberikan tunjuk ajar dan panduan terbaik bagaimana untuk memelihara dan menjalankan perniagaan ikan hiasan,” katanya.

Dalam pada itu, satu pertandingan Ikan Betta akan diadakan di negeri ini bulan depan.

“Saya jangka peminat Ikan Betta seluruh negara tidak akan melepaskan peluang ke sini sempena program itu. Ini juga salah satu aktiviti yang menjurus kepada agropelancongan Melaka,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS