Hutan simpan kekal diisytihar hutan terbuka

Hutan simpan kekal diisytihar hutan terbuka

Bila dah terbuka, jadi tanggungjawab kita semua untuk pelihara hutan warisan negara kita ni ya. Teringat lagu hijau nyanyian Zainal Abidin. :-)

AYER KEROH 25 April – Sejumlah 16.107 hektar kawasan Hutan Lipur atau Taman Negeri dan 36.15 hektar Hutan Simpan Bukit Beruang akan dikelaskan sebagai Hutan Terbuka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, inisiatif itu bagi kemudahan orang ramai berekreasi sekali gus menggalakkan aktiviti eko-pelancongan.

Beliau berkata, perkara itu bersesuaian dengan Seksyen 45 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk melakukan perisytiharan itu.

“Langkah ini membolehkan orang awam memasuki kawasan hutan simpan itu tanpa perlu memperolehi Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal.

“Ia termasuklah di kawasan-kawasan aktif seperti kawasan pembangunan, denai, gerai-gerai, parkir dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini, hari ini.

Mengikut rekod, kemasukan pengunjung ke Hutan Lipur semakin bertambah di mana pada 2016 seramai 64,878, 2017 seramai 84,266 orang dan 2018 seramai 69,185 orang.

Adly berkata, daripada jumlah itu ia menunjukkan bahawa hutan lipur telah melalui transformasi untuk menjadi pusat eko-pelancongan yang popular.

Antara hutan lipur dan hutan simpan terlibat pengisytiharan itu ialah Hutan Simpan Bukit Batu Lebah, Bukit Senggeh (2.645 hektar dari 85 hektar), Hutan Simpan Tanjung Tuan (1.04 hektar dari 74.08 hektar), Hutan Simpan Paya Laut, Linggi (2.751 hektar dari 80.02 hektar).

Selain, Hutan Simpan Sungai Udang (2.751 hektar dari 105.17 hektar), Taman Negeri Melaka, Bukit Sedanan (6.92 hektar dari 108 hektar), Hutan Simpan Bukit Beruang (36.15 hektar).

CATEGORIES
TAGS