Hubungan dua hala bersama LADA perkasa pelancongan Melaka

Hubungan dua hala bersama LADA perkasa pelancongan Melaka

Kerjasama yang amat penting buat Negeri Melaka...

AYER KEROH 8 Okt. – Kerajaan negeri akan menjalin hubungan dua hala antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai usaha memperkasa strategi pelancongan di negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata kerjasama dua hala itu akan dilaksanakan pada kunjungannya ke negeri ini bermula esok.

Jelasnya, melalui kunjungan itu pelbagai aspek perbincangan akan dilaksanakan bersama LADA bagi mengambil pelbagai aspek pelancongan di Langkawi untuk dipelajari dan dibawa ke Melaka.

“Kita akan wujudkan hubungan dua hala ini kerana sektor pelancongan di Langkawi khususnya pelancongan pulau boleh dimanfaatkan di negeri ini.

“Di sana terdapat sektor pelancongan seperti eko-pelancongan, kereta kabel serta pengurusan pantai yang bersih dan strategik dan itu adalah antara perkongsian yang kita akan manfaatkan dan bawa ke negeri kita.

“Pertemuan ini akan lebih banyak membincangkan dari pelbagai sudut ekonomi dan pelancongan malah kita akan berkongsi kelebihan masing-masing agar jalinan ini sentiasa berkekalan dalam memajukan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi MelakaKini sebentar tadi.

Pada masa sama, Jailani menjelaskan pihaknya komited dalam memajukan industri pelancongan pulau di negeri ini dan mencontohi pengurusan pelancongan pulau di Langkawi.

“Kita akan banyak memfokuskan di dalam pembangunan pelancongan pulau dan di Melaka terdapat banyak pulau yang menarik yang perlu dibangunakan melalui sektor pelancongan.

“Kita komited dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri ini, dengan usaha berterusan ini akan seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Lebih-lebih lagi kita juga mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang dilihat semakin sibuk dengan kedatangan ramai pelancong.

“Saya harap usaha ini berterusan agar Melaka sering menerima kunjungan pelancong melalui pelbagai perlaksanaan yang kita laksanakan,” katanya.

Kunjungan yang akan bermula pada esok sehingga Jumaat ini akan disertai 25 wakil dari negeri ini membabitkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka termasuk petugas media.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS