Hormati keputusan kerajaan, henti tekan Perdana Menteri

Hormati keputusan kerajaan, henti tekan Perdana Menteri

Hentikan polemik Dr. Zakir Naik, hormati keputusan PM!

PAYA RUMPUT: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menggesa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk berstatus menteri menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membabitkan isu ekstradisi penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik.

 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka menegaskan, tekanan berterusan terhadap Perdana Menteri akan memburukkan keadaan, meningkatkan kemarahan dan ketegangan antara kaum.

 

“Semua pihak terutama menteri dalam Kabinet dan pemimpin komponen PH harus berhenti memberi tekanan dan menghormati pendirian serta ketetapan Perdana Menteri.

“Tun Dr Mahathir sudah dua kali menyatakan pendirian tegasnya bahawa Dr Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India walaupun kerajaan berdepan dengan desakan banyak pihak,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput ditemui Melakakini selepas melawat Kuil Seri Maha Mariaman di sini hari ini.

Mohd Rafiq Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka itu mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mempersoalkan Tun Dr Mahathir tidak mengambil tindakan terhadap Zakir selepas penceramah kontroversi itu membuat laporan polis kedua terhadapnya kerana memfitnah.

Ramasamy berkata, ketiadaan tindakan segera terhadap Zakir oleh Perdana Menteri memberi gambaran bahawa penceramah warga India itu menikmati kekebalan di negara ini.

Pemimpin DAP itu turut kecewa dengan keputusan Tun Dr Mahathir tidak mengambil langkah segera ke atas Zakitr memandangkan Perdana Menteri pernah menjanjikan sebuah Malaysia baharu untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Mohd. Rafiq yang juga Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka menggesa semua pihak menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan polis menangan isu membabitkan Zakir.
Baru-baru ini Zakir diselubungi kontroversi, berhubung kenyataannya mengenai masyarakat Cina dan India di Malaysia.

Zakir dilaporkan berkata, dalam isu ekstradisinya ke India, masyarakat Hindu di Malaysia menikmati “100 kali lebih banyak hak” berbanding orang Islam di India tetapi lebih menyokong Perdana Menteri negara itu berbanding Perdana Menteri Malaysia.

Beliau juga dilaporkan berkata, sekiranya kedudukannya sebagai “tetamu” di negara ini kerana tidak dilahirkan di sini dijadikan sebab beliau perlu dihantar pulang ke India, maka orang Cina sebelum ini yang tidak dilahirkan di sini juga adalah “tetamu lama” yang perlu dihantar pulang sebelum beliau.

Kenyataan tersebut mencetuskan kritikan keras daripada sesetengah pihak, termasuk Ramasamy, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Satees Muniandy; Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan bekas duta, Dennis Ignatius.

Zakir kemudiannya membuat laporan polis terhadap lima individu terbabit yang mempertahankan kritikan mereka terhadap beliau.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS