Hora Horey Live Didi & Friends temui penonton

Hora Horey Live Didi & Friends temui penonton

Boleh bawa anak-anak menonton konsert ini pada cuti sekolah bulan depan

SIRI animasi kanak-kanak popular, Didi & Friends bakal menemui peminatnya menerusi Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends secara ekslusif dan interaktif di Quill Convention Center, Kuala Lumpur.

Konsert berdurasi 65 minit itu berlangsung selama empat hari bermula dari 15 hingga 18 Ogos sempena cuti persekolahan bulan depan.

Diangkat sebagai fenomena hebat dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru, Didi & Friends adalah produksi bersama Digital Durian dan Astro yang berjaya meraih 2 juta pengikut dan 1.5 bilion tontonan di YouTube.

Siri animasi popular ini juga memenangi hati peminatnya menerusi watak comel kesayangan ramai seperti Didi, Nana, Jojo, Pak Atan dan Bingo.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail berkata, konsert itu umpama mimpi menjadi kenyataan baginya.

“Misi kami untuk mencipta momen keluarga yang penuh kasih sayang kepada ibu bapa bersama anak mereka.

“Ini langkah terbaik untuk membuat ibu bapa dan anak-anak gembira dengan merasai sendiri pengalaman konsert muzikal interaktif yang cukup hebat,” katanya.

Tambah Sinan, konsert muzikal interaktif ini adalah yang pertama dianjurkan produksi itu.

“Tiada penggiat karakter kartun tempatan pernah menjalankan konsert seumpama ini.

“Usaha dan penyelidikan yang kami lakukan dan pengalaman yang ingin disampaikan merupakan pengalaman seumur hidup.

“Tarikan maskot baharu, persembahan, gimik dan pelbagai momen interaktif akan membuat penonton cilik khususnya lebih teruja di sepanjang persembahan,” katanya.

Menariknya, sempena penganjuran Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends itu, pihak produksi kami berbesar hati meraikan sembilan keluarga pemenang bertuah dengan membawa maskot Didi & Friends sebagai kejutan di sambutan hari kelahiran mereka.

“Bayangkan kehadiran Didi, Nana, Pak Atan, Jojo atau Bingo di majlis hari lahir anda bersama rakan dan keluarga tersayang.

“Setiap pemenang akan dipilih menerusi proses cabutan bertuah yang akan diadakan di setiap persembahan dan semua berpeluang memenangi hadiah hebat ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Sinan berkata, besar harapannya mencipta momen diingati semua peminat cilik siri
animasi itu.

“Kami janji memberikan yang terbaik kerana kami mempunyai peminat terbaik. Ini mungkin konsert pertama kami, tetapi kami percaya ia akan menjadi satu sejarah,” katanya.

Antara lagu dipersembahkan termasuk Semut Berkawad, Bingo selain lagu Mandi, The Lala Dance yang mendapat hampir 6 juta tontonan di saluran YouTube Didi & Friends.

Rakaman muzik video Lagu Mandi Remix turut melibatkan barisan personaliti popular seperti Izzue Islam, Syatilla Melvin, Aqil Nahar dan Ara Aziz dan ia boleh ditonton di YouTube Didi & Friends.

PENGLIBATAN SELEBRITI POPULAR

Selain itu, Izzue Islam dipilih sebagai selebriti jemputan utama konsert ini dan akan membuat
persembahan semasa konsert dan menari The Lala Dance bersama peminat yang hadir.

Personaliti popular lain turut serta membuat persembahan adalah ‘b-boy’ terkenal tanah air iaitu Wakaka Crew yang diterajui oleh Alam.

Animasi kartun Islamik, Omar & Hana turut membuat penampilan istimewa di konsert ini kelak.

Didi & Friends juga bekerjasama dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melibatkan penari-penari berpengalaman dan persembahan berkualiti tinggi (dari barisan pemain dram ASWARA dan Kumpulan Dikir Barat ASWARA).

Konsert ini merupakan konsert mesra keluarga yang sarat dengan elemen persembahan, lakonan dan tarian di pentas yang mana seluruh isi keluarga tanpa had umur bakal menikmati semua pengisian dan kandungan persembahan di dalam konsert ini.

‘Groundzero’ sebuah organisasi yang bukan berasaskan keuntungan telah dilantik sebagai sebahagian dari rakan kerjasama bagi Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends bagi memberi servis perundingan, teknikal dan tajaan prop.

Antara gimik persembahan yang dijadualkan berlangsung termasuklah bermain ‘giant balls’, ‘water-gun’, ‘glow-in-the-dark’ dan banyak lagi!

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS