Categories: JENAYAHNASIONAL

Hina agama : 867 laporan dibuat terhadap pendakwah

KUALA LUMPUR, 29 April – Polis setakat ini menerima 867 laporan berhubung klip video yang didakwa mengandungi elemen penghinaan terhadap agama Hindu yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata penceramah itu, yang sebelum ini ditahan di Perlis, telah dibawa ke ibu negara dan disiasat oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi dan pasukan khas dari Bukit Aman.

“Itu jumlah laporan polis pagi tadi dan kemungkinan akan bertambah lagi. Penceramah itu masih dalam tahanan reman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perasmian IPD Brickfields di sini hari ini.

Penceramah bebas berusia 34 tahun itu ditahan di Arau, Perlis semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Klip video terbabit dilaporkan telah dimuat naik oleh pemilik akaun YouTube, Info Sunnah Kelantan pada 30 Dis tahun lepas.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyerahkan replika kunci IPD Brickfields sebagai gimik perasmian ibu pejabat polis daerah baharu  itu di tapak 2.5 hektar dan siap pada tahun lepas dengan kos RM40.6 juta.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara berkata polis mungkin memanggil beberapa individu susulan dakwaan wujud kritikan terhadap Raja-Raja Melayu pada forum awam mengenai Statut Rom di Universiti Malaya pada Sabtu.

“Polis ada menerima laporan daripada pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati, jadi kita siasatlah…Kita tengok pada keperluan dan kesalahan…sekiranya perlu kita akan panggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dilaporkan telah membuat laporan polis terhadap seorang peserta forum itu yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu ketika forum berlangsung.

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata polis turut melakukan siasatan susulan laporan yang diterima berkaitan penyebaran poster penganjuran acara ‘Sesi Teh Tarik Bersama 4 Putra Mahkota’.

“Ya, polis ada menerima laporan berhubung penganjuran program itu dan buat masa ini siasatan dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

“Siasatan sedang dilakukan pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman. Kita akan melengkapkan siasatan secepat mungkin, jadi tunggulah,” katanya.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan merupakan antara individu yang berkongsi poster acara itu di laman sosial.- BERNAMA

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago