Helah Trump-Kushner mahu hapuskan Palestin dari peta dunia

Helah Trump-Kushner mahu hapuskan Palestin dari peta dunia

Hak Palestin perlu ditegakkan tidak kira apa jua cara sekalipun!

PADA 25 Jun 2019 yang lepas, Jared Kushner telah mendedahkan butiran ‘the deal of the century’ yang diumumkan oleh Presiden Trump pada bulan April yang lepas. Bayangan ‘The deal of the century’ yang menjadi manifesto kempen Presiden Trump pada tahun 2016 kononnya menjanjikan penyelesaian muktamad kepada konflik Palestin-Israel yang telah berlangsung selama satu abad.

Namun apabila Krushner, penasihat Trump merangkap menantunya juga mendedahkan butiran ‘the deal of the century’ dalam bentuk pelaburan bernilai USD50 bilion untuk membantu memulihkan ekonomi Palestin, ia mendedahkan perancangan Amerika Syarikat-Israel untuk terus mengenepikan tuntutan dan hak rakyat Palestin.

Dari jumlah tersebut sekitar USD27 bilion akan diagihkan kepada Gaza dan Tebing Barat; selebihnya kepada Mesir, Jordan dan Lubnan. Jelas stimulus ekonomi tersebut bertujuan untuk merasuah negara negara Arab supaya mendukong usaha normalisasi dengan Israel

Antara projek ekonomi yang disebut oleh Kushner ialah projek perhubungan keretapi di antara Gaza dan Tebing Barat. Bagaimanakah infrastruktur pengangkutan ini akan memberi manfaat kepada penduduk Gaza yang dinafikan kebebasan untuk bergerak bahkan dihalang dari meninggalkan Gaza dan penduduk Tebing Barat yang sering diancam dengan pengusiran, perobohan rumah dan pembatalan status pemastautin.

 

ISRAEL ‘KENYANG’, PALESTIN MERANA

Persoalan-persoalan bagaimanakah ekonomi Gaza dan Tebing Barat boleh dibangunkan dalam situasi Gaza dikenakan kepungan dan Israel terus merampas tanah rakyat Palestin, merobohkan rumah mereka dan membina penempatan haram di Tebing Barat terus diabaikan. Isu isu asas seperti ini menuntut resolusi segera dan bukannya stimulus ekonomi sebagai gula-gula.

Jelas sekali Israel akan diberikan ruang seluas-luasnya untuk penguasaan berterusan ke atas Baitul Makdis timur dan Tebing Barat serta kepungan ke atas Gaza. Semua syarat asas perdamaian iaitu hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka, pengistiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin, pengunduran Israel dari Tebing barat sesuai dengan Resolusi 242 dan 338 (1967) dan menghentikan sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza tidak akan diendahkan.

Bahkan Trump sendiri mengiktiraf Tebing Barat sebagai wilayah Israel sepenuhnya, sekali gus menolak penyelesaian dua negara, langkah awal ke arah proses damai yang merupakan inisiatif US sejak beberapa Presiden US sebelum Trump. Bahkan Trump telah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke sana.

Dalam perkembangan terakhir Trump mengiktiraf Bukit Golan yang dirampas Israel dari Syria pada tahun 1967 dan Netanyahu menamakannya sebagai Trump Heights.

 

TAWARAN TRUMP HANYA HAPUSKAN PALESTIN DARI PETA DUNIA

Tawaran kewangan oleh pentadbiran Trump tidak bertujuan selain dari menghapuskan hak rakyat Palestin dan memadam Palestin dari peta dunia. Amerika Syarikat tidak perlu menyuntik satu sen pun kepada Palestin sekiranya hak rakyat Palestin dikembalikan. Pendudukan Israel ke atas Tebing Barat terutama di kawasan yang diwartakan oleh Israel sebagai zon C yang dikuasai sepenuhnya oleh tentera Israel telah menafikan pulangan ekonomi kepada rakyat Palestin berjumlah lebih dari 3 bn USD setahun.

Kepungan Israel ke atas Gaza dan sekatan bahanapi, ubat-ubatan, halangan impot barangan keperluan dan alat alat ganti; dan ekspot hasil hasil pertanian; menghalang pelaburan; perdagangan bebas bahkan bantuan kemanusiaan serta menutup lapangan terbang, pelabuhan serta mengenakan zon larangan menangkap ikan melebihi 3 batu nautika kesemuanya dengan sengaja bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi dan merampas kemerdekaan rakyat Palestin.

Kesimpulannya konflik Palestin-Israel tidak mungkin diselesaikan dengan penyelesaian ekonomi bahkan lebih tepat lagi sogokan kewangan tetapi ia memerlukan satu resolusi politik yang adil di mana hak rakyat Palestin yang telah diceroboh dihentikan dan hak asasi mereka dipulihkan.

Ternyata tembelang Trump yang cuba disogok oleh menantunya ditolak oleh rakyat Palestin. Buktinya wakil wakil Pihak berkuasa Palestin (Palestine Authority) di Tebing Barat yang merupakan rakan perundingan Israel yang paling setia menggadaikan hak rakyat Palestin kepada Israel atas nama perdamaian yang palsu tidak hadir ke persidangan di Manama, Bahrain di mana Krushner mengumumkan suntikan dana USD50 bilion.

Sebaliknya yang hadir ialah ahli ahli perniagaan dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan golongan kapitalis yang bersedia membuat keuntungan dan melanjutkan penderitaan rakyat Palestin sejak bermulanya Nakbah 70 dahulu.

 

Pengerusi MyCARE (Humanitarian Care Malaysia),
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS