Han-Byul tepati ramalan Juara Big Stage 2019 musim kedua

Han-Byul tepati ramalan Juara Big Stage 2019 musim kedua

Dengar-dengar ramai netizen yang mempersoalkan kemenangan Han-Byul ni. Apepun tahniah buat sang juara ni!

PENTAS akhir program realiti Big Stage menyaksikan bintang dari Korea Selatan, Han-Byul dinobatkan sebagai juara sekali gus menewaskan empat finalis lain iaitu Neeta, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata.

Kemenangan tersebut melayakkan Han-Byul membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM100,000, sebuah kereta Perodua Axia Style dan trofi sumbangan Astro.

Pada konsert akhir itu, kesemua finalis diwajibkan membuat menerusi lagu ‘Single Baharu’ dan ‘Cover Final’.

Persembahan Han-Byul yang cukup konsisten dari minggu ke minggu, mempersembahkan lagu-lagu pelbagai genre dan bahasa ternyata membuahkan hasil apabila apabila dia diumumkan juara Big Stage musim kedua.

Dia berjaya memukau penonton dengan persembahan hebat menerusi lagu ‘Lose Yourself’, nyanyian asal penyanyi rap, Eminem serta ‘Luka dan Bahagia’ yang merupakan lagu baru hasil sentuhan penyanyi popular, Haqiem Rusli.

Markah keseluruhan Han-Byul sebanyak 70.33 peratus telah meletakkan seorang lagi peserta ‘favourite’, Neeta Manisha di tangga kedua (naib juara) dengan markah terkumpul sebanyak 68.66 peratus.

Neeta mempamerkan persaingan cukup sengit kepada Han Byul sepanjang musim kedua lebih-lebih lagi di pentas akhir.

Versatiliti dimiliki Neeta telah melayakkan dia menjadi penerima anugerah ‘Budak Baru Nak Up (BBNU) of the Week’ terbanyak sepanjang musim ini.

Pada malam final itu, Neeta telah menyampaikan lagu ‘I Wanna Dance with Somebody’, nyanyian asal Whitney Houston dan single terbaharu berjudul, ‘Ruang Mimpi’, hasil nukilan Becky Zulkepli.

Neeta membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta sebuah trofi sumbangan Astro.

Sementara bintang BBNU berasal dari Kuala Lumpur, Adzrin berada di kedudukan ketiga dengan markah terkumpul sebanyak 61.99 peratus.

Adzrin tampil menerusi lagu single terbaharu berjudul ‘Picisan’, lagu yang ditulis Farouk Roman dan ‘All of Me’, nyanyian asal John Legend.

Berada di kedudukan ketiga, Adzrin membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Bintang BBNU termuda, Irfan Haris diumumkan sebagai pemenang tempat keempat, manakala satu-satunya peserta dari Indonesia, Dinda Permata, terpaksa akur di kedudukan kelima.

Bagaimanapun, kedua-dua peserta ini tidak pulang dengan tangan kosong dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan RM5,000 serta sebuah trofi sumbangan Astro.

Malam kemuncak Big Stage musim kedua diadili juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan selain juri jemputan, Misha Omar.

Ia telah dikendalikan dua selebriti terkenal tanah air iaitu Alif Satar bersama Sherry Al Hadad.

Format Penjurian terbahagi kepada dua bahagian yang mana bahagian pertama dinilai oleh juri profesional.

Kedudukan tempat pertama hingga terakhir akan ditentukan berdasarkan pemarkahan seratus peratus oleh barisan juri.

Manakala bahagian kedua, undian dilakukan peminat secara online.

Big Stage musim kedua dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES