Hampir setahun rumah beratapkan ‘langit’, akhirnya terima rumah baharu

Hampir setahun rumah beratapkan ‘langit’, akhirnya terima rumah baharu

Berkat kesabaran akhirnya terbalas. Syukur..

BUKIT RAMBAI 11 Julai – Berkat kesabaran Mohd Tajudin Tamin, 44 bersama isterinya Noor Sabarina Mohd, 38 terbalas, selepas lebih lima agensi tampil memberikan pertolongan membaiki rumahnya yang usang, termasuk menyampaikan bantuan.

Lebih memilukan, Mohd Tajudin dan Noor Sabarina terpaksa berteduh di ruang bilik lain ketika hujan kerana tidak mampu membaiki atap rumahnya yang sudah bocor hingga mengabitkan beberapa bahagian rumahnya mereput.

Mohd Tajudin yang bekerja kilang dengan pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan ketika ditemui tidak putus mengucapkan syukur atas pertolongan diberikan orang ramai.

“Bila hari hujan, kami sekeluarga akan berkumpul di bilik hadapan kerana kesemuanya ruang akan dipenuhi air akibat atap yang bocor.

“Adakalanya sampai rosak baju sekolah anak-anak dan selepas hujan berhenti, lebihan air yang bertakung akan mula turun dari siling hingga mengakibatkan bilik anak kekal bertakung dengan air, walaupun cuaca sudah mula baik.

“Paling teruk di bahagian dapur kerana ruangnya bocornya lebih besar, diikuti atap zink yang berkarat dan mereput,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tajudin yang memiliki tiga orang anak hasil perkongsian allahyarhamah isteri pertamanya di Negeri Sembilan sebelum berkahwin dengan Noor Sabarina beberapa tahun lalu mengakui tidak pernah memohon sebarang bantuan dan ada ketikanya bergantung harap kepada ihsan jiran untuk menikmati juadah harian.

“Jika tiada kerja dari kilang, saya akan menanam keledek beserta tanaman lain dan jika memberikan hasil ia akan dijadikan juadah kami sekeluarga.

“Jiran juga ada membantu memberikan bantuan makanan melihat kami yang kesusahan,” katanya yang mengidap penyakit darah tinggi.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck turut turun menghulurkan bantuan.

Katanya, dia akan memastikan tiada keluarga yang tidak terbela dalam kawasan pentadbirannya.

“Pihak saya juga telah menyampaikan bantuan diikuti perabot supaya keluarga ini mampu hidup lebih selesa.

“Maklumat mengenai keadaan keluarga ini telah diterima tiga minggu lepas dan pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) kemudiannya menyusun atur beberapa bantuan sebelum menyampaikannya hari ini (semalam),” katanya.

Antara agensi yang tampil memberikan bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zakat Melaka (ZM) dan lain-lain.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS