Hamas sokong Abbas tangguh perjanjian dengan Israel

Hamas sokong Abbas tangguh perjanjian dengan Israel

Abbas mengumumkan semua perjanjian yang dimeterai dengan Israel akan digantung

GAZA CITY, 26 Julai – Kumpulan pembangkang Hamas berkata pihaknya menyokong keputusan Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk menangguhkan semua perjanjian yang ditandatangani dengan Israel, lapor agensi berita Anadolu.

Kumpulan yang berpangkalan di Gaza itu berkata dalam satu kenyataan pada Khamis, keputusan berkenaan satu langkah bijak.

Terdahulu, Abbas mengumumkan semua perjanjian yang dimeterai dengan Israel akan digantung.

“Kita tidak akan tunduk dengan mana-mana pihak,” jelasnya merujuk kepada tindakan rejim Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Pergerakan Hamas berkata keputusan itu sejajar dengan “proses sukar” yang perlu dilalui Palestin.

Katanya, rakyat sedang menanti keputusan yang diumumkan itu segera direalisasikan.

Kumpulan itu juga menuntut penubuhan kerajaan perpaduan nasional, menghentikan penyelarasan keselamatan dan membebaskan tahanan politik.

Pada Isnin, jentolak yang diiringi ratusan tentera Israel telah memasuki kejiranan Wadi Homs di Baitulmaqdis Timur dan mula merobohkan beberapa bangunan di kawasan itu.

Pihak berkuasa Israel mendakwa bangunan terbabit telah dibina tanpa permit.

Israel telah menduduki Baitulmaqdis Timur, yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS