Hak tapak : Peniaga bazar mohon bantuan kerajaan negeri

Hak tapak : Peniaga bazar mohon bantuan kerajaan negeri

AYER KEROH 6 April – Peniaga Bazar Ramadan Klebang memohon ihsan kerajaan negeri agar memberikan semula hak tapak niaga bazar kepada mereka.

Terdahulu, kira-kira 60 wakil peniaga kawasan itu bersua dengan Ketua Menteri, Adly Zahari pada program Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara sebelum mengadukan hal sebenar.

Wakil peniaga, Farhan Rahim, 32, berkata, kawasan bazar itu yang dikendalikan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi kaedah undian meletakkan sumber rezeki mereka terdedah kepada bahaya, jika tidak dipilih.

Dia berkata, peniaga kawasan tersebut bagaimanapun tidak mahu bergaduh dengan MBMB atau pun kerajaan negeri dan hanya menuntut hak sebagai peniaga lama yang menaikkan kawasan terbabit.

“Sebagai peniaga asal, saya rasa kami ada hak untuk mendapatkan kawasan berniaga tanpa perlu melalui proses undian.

“Proses undian itu kami tidak halang, cumanya berikan dahulu kawasan yang sepatutnya kami dapat, jika ada lebihan buat undian kepada peniaga baharu.

“Kerana persiapan pembelian barangan sudah dilakukan melibatkan nilai ratusan ribu ringgit dan jika tiada tempat, maka kami akan susah,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, kaedah undian bagi menentukan siapa yang layak menduduki tapak bazar itu kali terakhir dilakukan pada 2016.

Dalam perkembangan sama, dia berharap Adly mampu mencari jalan penyelesaian agar nasib mereka sebagai peniaga asal kawasan itu tidak dicabuli peniaga baharu.

“Masalah telah diadukan dan berharap Ketua Menteri dapat bantu kami selesaikan masalah ini dan menyokong kami sebagai peniaga asal kawasan ini.

“Kalau boleh, kami sebagai peniaga asal tidak mahu melalui proses undian, bukan menentangnnya cuma jika ada lebihan tapak, nak kasi pada orang lain, terpulang,” katanya.

Sementara itu, Adly pada pertemuan itu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama wakil peniaga itu bersama MBMB bagi mencari penyelesaian.

“Saya perlu mendengar dahulu jawapan dari MBMB sebelum membuat keputusan dan kalau boleh, kita duduk dan berbincang terhadap perkara ini,” jelasnya.

Bazar Ramadan Klebang merupakan antara kawasan tarikan buat rakyat Melaka menjelang sambutan Aidilfitri dan merupakan bazar terpanjang di Melaka.

CATEGORIES
TAGS