Haji dan Umrah, dua kembara iman buat umat Islam

Haji dan Umrah, dua kembara iman buat umat Islam

Umat Islam yang sudah melaksanakan Haji dan mengerjakan Umrah, pasti akan rindu untuk berkunjung ke Mekah dan Madinah...

MENUNAIKAN haji adalah rukun Islam kelima dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah.

Kebiasannya ia dilaksanakan hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.

Bagi umat Islam pula, ia wajib dilaksanakan sekali seumur hidup jika berkemampuan.

Bagaimanapula dengan umrah ? Biasanya di panggil haji kecil oleh masyarakat setempat.

Umrah dari segi istilah ialah menziarahi Masjid Al-Haram dan melaksanakan ibadah-ibadah yang tertentu. Tertentu di sini, merujuk kepada berihram, tawaf, saie dan seterusnya bertahallul. Aktiviti tawaf dan saie hanya disyariatkan di sini.

Umrah juga adalah wajib berdasarkan firman Allah, “Dan sempurnakan haji dan umrah kerana Allah,” Al-Baqarah, 2 : 196 Kalimah “Atimmu” merupakan kata perintah yang membawa kepada hukum wajib yang secara jelas mewajibkan kita menunaikan umrah dan haji kerana Allah.

Berbeza dengan menunaikan haji, umrah boleh dilaksanakan pada bila-bila masa yang kita sukai menggunakan khidmat agensi pelancongan atau secara sendiri.

Tetapi, bagi kedua-duanya, sesiapa saja yang pernah mengunjungi Baitullah pasti akan merasai rasa tenang yang luar biasa, rindu dan ingin kembali.

Tidak ada seorang pun yang apabila berada di hadapan Kaabah ingatannya akan tersasar jauh daripada mengingati Allah SWT. Seseorang itu juga apabila memandang Kaabah akan hilang rasa kesedihan dan rasa kesempitan daripada dadanya.

Untuk umat Islam, mereka diberi dua pilihan dan kedua-duanya mempunyai kebaikan, pertama menginsafi hati.

Kedua, manifestasi perpaduan daripada perhimpunan umat Islam yang datang dari jauh dan dekat supaya mereka dapat berkenalan, mengambil faedah dari hukum Allah serta menzahirkan kekuatan umat Islam.

Ketiga, menzahirkan persamaan agama Tauhid pada perkara yang diwarisi oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai pemimpin agama untuk bangsa Arab dan Rasulullah SAW diutuskan bagi menzahirkan agama Islam ini serta meninggikan kalimah-Nya.

Sudah tentu jika berkesempatan, tetamu pastinya tidak akan melepaskan peluangkan menziarahi MADINAH al-Munawwarah, selain mercu tanda kegemilangan penyebaran Islam, ia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah yang membawa kita menyusuri perjuangan Rasulullah SAW demi menegakkan agama Allah SWT.

Kota suci kedua umat Islam selepas Makkah ini menjadi benteng atau tapak perlindungan iman khususnya kepada Rasulullah SAW ketika melalui zaman yang penuh mencabar.

Di Madinah, turunnya wahyu al-Quran, masjid pertama dibina di sini dan juga bersemadinya jasad Rasulullah SAW

kediaman sahabat Rasulullah SAW khususnya yang terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi kebanyakannya tidak diabadikan sebagai tempat bersejarah, sebaliknya dibangunkan semula menjadi tapak masjid.

Ia termasuk Masjid Ghamamah, Masjid Saidina Abu Bakar, Masjid Saidina Ali dan Masjid Saidina Umar.

Masjid Ghamamah seperti ditulis dalam riwayat, mencatatkan sejarah tersendiri sebagai masjid pertama dilakukan solat sunat Aidilfitri.

Di sana terdapat 27 masjid bersejarah di sekitar Madinah yang antaranya penting untuk dikenang kerana menjadi permulaan kepada syariat besar dalam Islam.

Antaranya Masjid Qiblatain yang terletak di sebelah barat daya Madinah menjadi detik pertukaran arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah (Kaabah).

Serta Masjid Jum’ah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Bandar Madinah pula menjadi masjid pertama yang menyaksikan Rasulullah SAW solat Jumaat secara terang-terangan selepas penghijrahan Baginda ke Madinah.

Jadi pada mereka yang ingin menunaikan haji atau pun umrah, persiapkan diri dan jagakan kesihatan sepanjang mengerjakan ibadah di sana.

Dalam mengerjakan ibadah, kesihatan juga memainkan peranan penting.

CATEGORIES