Hadiah boleh menjadi rasuah?

Hadiah boleh menjadi rasuah?

Hati-hati...

BANDA HILIR 6 Nov. – Golongan pekerja sama ada awam atau swasta perlu berhati-hati apabila menerima apa-apa pemberian daripada pihak-pihak tertentu.

Ini kerana pemberian tersebut yang pada awalnya mungkin dianggap hanya sebagai hadiah boleh dianggap sebagai pemberian rasuah.

Menurut Penolong Penguasa Mohd Zulhairni Ibrahim dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hadiah boleh menjadi rasuah apabila pemberi dan penerima hadiah mempunyai hubungan rasmi.

Beliau berkata hadiah juga dianggap rasuah sekiranya pemberian hadiah tersebut akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat oleh si penerima.

“Selain itu hadiah boleh menjadi rasuah apabila nilai hadiah tidak setimpal dengan maksud hadiah itu diberi,” katanya ketika membincangkan topik Rasuah dan Integriti di Persidangan dan Mesyuarat Malaysia Water Industry Human Resources (MYWINHR) 2019 di sini hari ini.

Beliau turut memberi peringatan kepada penjawat awam supaya tidak sesekali menerima hadiah atau barangan bernilai daripada kontraktor atau pembekal yang berurusan secara rasmi dengan mereka.

Mohd Zulhairni berkata penjawat awam yang menerima pemberian hadiah daripada pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut memberi takrifan rasuah iaitu penerimaan atau pemberian suapan bertujuan supaya seseorang itu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

“Empat kesalahan utama mengikut Akta SPRM 2009 adalah meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan salahguna kedudukan atau jawatan oleh pegawai awam,” jelasnya.

Persidangan dua hari tersebut dirasmikan Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Halim Bachik dan dihadiri ketua-ketua jabatan dan pengurus sumber manusia syarikat pengurusan air dari 13 buah negeri kecuali Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

CATEGORIES
TAGS