Hab Pengeluaran Produk Usahawan Harapan sejuta manfaat buat asnaf

Hab Pengeluaran Produk Usahawan Harapan sejuta manfaat buat asnaf

Manfaatkan sepenuhnya

AYER KEROH 29 Nov. – Kerajaan negeri akan memperluaskan Hab Pengeluaran Produk Usahawan Harapan sekali gus mampu membantu golongan asnaf di negeri ini dalam meningkatkan pendapatan mereka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, hab yang berfungsi sebagai kawasan pengeluaran produk golongan asnaf itu akan diusahakan melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Kita akan cuba kembangkan lagi hab ini dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memperkasa peluang dan manfaat yang bakal diterima golongan asnaf yang menceburi bidang keusahawanan ini.

“Malah, hab ini akan bekerjasama melalui MAIM dan agensi kerajaan negeri lain bagi mempromosikan produk jualan asnaf di negeri ini.

“Buat masa ini, kerajaan negeri sedang mencari model baharu agar barangan berkenaan bukan sahaja dijadikan sebagai stok pengeluaran namun penjualan juga dijadikan titik utama bagi usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pelancaran Jom Berzakat 2019 di Philea Resort & Spa, di sini baru-baru ini.

Pada masa sama beliau berkata, strategi kerajaan negeri dalam merancang pembukaan operasi Emporium Melaka adalah salah satu peluang dalam mempromosikan produk asnaf selain barangan yang dikeluarkan oleh masyarakat luar bandar.

Jelasnya, Emporium Melaka turut akan dijadikan sebagai hab memperkasa setiap produk masyarakat di negeri ini malah kerajaan telah mengenalpasti lokasi tersebut yang juga merupakan kawasan tumpuan utama pelancong di negeri ini.

“Jika terdapat pusat penjualan yang lebih strategik ia secara tidak langsung mampu memastikan harga barangan dapat dikawal sepenuhnya.

“Mulai pertengahan tahun hadapan kita akan mulakan inisiatif ini agar mampu memberi manfaat kepada rakyat di Melaka,” katanya.

Adly menerusi pembentangan Belanjawan Melaka 2020 baru-baru ini turut memperhalusi dan meningkatkan keperluan dan manfaat kebajikan asnaf di negeri ini agar sama-sama membangun dalam mengubah kehidupan mereka.

Menerusi kerangka yang dibentangkan pada Belanjawan itu, Memartabat Institusi Perekonomian Islam Selaras Dengan Konsep Rahmatan Lil Alamin telah menitikberatkan bagi memperkukuh pengurusan zakat di negeri ini termasuk menambah baik Program Bagi Asnaf Fakir dan Miskin.

CATEGORIES