Golongan wanita perlu bersedia jadi pemimpin masa hadapan

Golongan wanita perlu bersedia jadi pemimpin masa hadapan

Wanita harapan negara

AYER KEROH, 8 Nov. – Exco Wanita, Kebajikan Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ginie Lim Siew Lin menyambut baik usaha kerajaan yang mahu meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kepimpinan, seperti yang dilancarkan dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Menurutnya, sokongan tinggi kerajaan ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor termasuk sebagai pembuat dasar dan keputusan.

Justeru, beliau meminta golongan wanita di negara dan negeri ini khususnya untuk memanfaatkan sokongan ini dan bersedia lebih awal jika diberi peluang menggalas tugas sebagai pemimpin kelak.

“Potensi dan kebolehan yang ada pada wanita perlu diketengahkan supaya peranan sebagai pemimpin bukan hanya diserahkan dan digalas oleh kaum lelaki sahaja.

“Inilah satu platform yang menunjukkan kita menggabungkan kerjasama kedua-dua gender untuk sama-sama memajukan negara di masa akan datang,” katanya.

Ginie berkata demikian ketika berucap di Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar zon Selatan yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menurut Ginie, penganjuran seminar ini amat menepati aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk meningkatkan lagi peranan wanita dalam barisan kepimpinan dan pembuat keputusan.

Namun, beliau sempat mengingatkan wanita agar bersedia dengan pelbagai cabaran yang menanti.

“Sebagai pemimpin, kita tidak wajar sekadar berada di barisan hadapan hanya untuk memberi arahan sebagai pemimpin tetapi kita juga perlu beri sumbangan yang lebih bermakna dalam apa jua bidang kehidupan yang boleh memberi manfaat kepada keluarga, komuniti dan lebih-lebih lagi kepada negara yang kita cintai.

“Inilah antara cabaran kepada wanita hari ini apabila diberi peranan sebagai pemimpin. Semestinya sebagai pemimpin, kaum wanita haruslah berani membuat keputusan, memahami tanggungjawab yang diberikan dan melaksanakan program berfaedah untuk membangunkan modal insan dan masyarakat yang dipimpin.

“Selaku pemimpin juga, wanita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan dengan masyarakat yang pada masa ini sebahagian besarnya mempunyai latar belakang pendidikan yang baik,” katanya lagi.

CATEGORIES