‘Gerhana Matahari Cincin’ selubungi Malaysia 26 Disember ini

‘Gerhana Matahari Cincin’ selubungi Malaysia 26 Disember ini

Unik

BUKIT PALAH 2 Dis. – Gerhana Matahari Cincin akan berlaku di negara menjelang 26 Disember ini sekali gus menjadikan fenomena tersebut dihadapi beberapa negara di dunia ini.

Panel Pakar Falak Syarie Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dr. Kassim Bahali berkata, fenomena yang berlaku bermula dari Arab Saudi menuju ke Lautan Pasifik dan seterusnya ke Sri Lanka, Indonesia dan ke negara ini berlaku pada tarikh yang sama pada hari tersebut.

Ujarnya, Gerhana Matahari Cincin atau dikenali sebagai Gerhana ‘Anulus’ itu akan dapat dilihat di beberapa lokasi secara tepat di negara ini termasuk di Tanjung Piai dan Pengerang, Johor serta di Serian, Sarawak.

“Bagaimanapun, selain daripada lokasi itu di seluruh negara juga akan menemui fenomena sama namun gerhana yang berlaku pada ketika itu, matahari tidak dapat dilihat seperti cincin tetapi akan dilihat seperti bulan sabit dan ini juga dinamakan sebagai Gerhana Matahari Separa.

“Apabila berlaku gerhana matahari cincin sebahagian besar matahari akan ditutupi oleh bulan dengan kadar sebanyak 95 peratus dan lima peratus cahaya akan dilihat menerusi di keliling matahari.

“Fenomena tepat yang akan berlaku seperti di Tanjung Piai nanti sebanyak 94.04 peratus kadar bulan yang akan menutupi matahari di sekitar jam 11.26 pagi hingga 3.17 petang dengan waktu kemuncaknya pada jam 1.22 petang.

Dr Kassim

“Di Melaka, fenomena itu akan berlaku dengan kadar 92.46 peratus di sekitar jam 11.20 pagi hingga 3.13 petang dan di waktu kemuncaknnya ialah 1.17 petang.

“Penduduk boleh melihat fenomena ini dimana-mana sahaja malah fenomena yang berlaku kali ini tepat pada waktu tengah hari dan tiada halangan seperti yang berlaku sebelum ini iaitu pada sebelah lewat petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas menghadiri Mesyuarat Program Fenomena Gerhana Matahari Separa 2019 di Pusat Islam Melaka di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, fenomena yang berlaku itu juga akan menunjukkan perubahan cuaca berlaku di sekitar beberapa minit.

Jelasnya, gerhana matahari yang terdiri daripada tiga jenis iaitu gerhana penuh, cincin dan separa mendatangkan pelbagai perubahan cuaca bergantung kepad penjenisan terbabit.

“Seperti gerhana matahari penuh, perubahan cuaca akan berlaku iaitu keadaan akan menjadi gelap seketika dan suhu bumi akan menurun secara perlahan.

“Seperti Gerhana Matahari Cincin yang bakal berlaku nanti, kita tidak akan mengalami cuaca gelap bagaimanapun akan mengalami cuaca mendung serta penurunan suhu seketika.

“Fenomena yang berlaku di Melaka nanti jika tiada perubahan cuaca iaitu hujan, langit akan mendung dan perubahan suhu bumi akan berlaku kira-kira tiga minit,” katanya.

Kassim turut menambah, gerhana matahari sebenarnya berlaku setiap tahun namun ia akan terjadi di beberapa negara dan bergantung kepada paksi pergerakan orbit bulan dan matahari.

“Pada tahun ini ia berlaku di Malaysia dan beberapa negara lain namun masyarakat juga perlu tahu tentang keselamatan yang perlu ditekankan pada waktu tersebut.

“Walaupun kita boleh lihat fenomena itu di mana sahaja namun tidak boleh melihat matahari secara terus dan terlalu lama kerana akan merosakkan retina mata.

“Jika perkara ini berlaku kecacatan kekal seperti buta akibat kerosakan retina mudah terjadi disebabkan fenomena ini.

“Penggunaan negatif filem juga tidak digalakkan kerana mempunyai kesannya tersendiri, jadi masyarakat perlu menggunakan Cermin Mata Gerhana atau dikenali sebagai ‘Eclipse Glasses’ kerana mempunyai kadar keselamatan yang tinggi yang boleh menapis cahaya matahari sebanyak 99 pertatus,” katanya.

CATEGORIES