Genggam utuh adab ketimuran

Genggam utuh adab ketimuran

Luntur budaya maka hilanglah identiti bangsa dan negara

AYER KEROH 2 Dis. – Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob berharap para graduan institusi berkenaan menggenggam utuh adab ketimuran sedia ada dan tidak keliru dengan doktrin kecelaruan idea berkaitan negara bangsa.

Beliau yang juga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka berkata, graduan wajar berpegang teguh kepada jiwa kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi.

“Seandainya tidak, identiti warisan budaya akan terhakis seiring dengan peredaran masa.

“Luntur budaya maka hilanglah identiti bangsa dan negara. Generasi yang tiada identiti akan hilang jati diri lalu mudah menggadaikan apa yang dipertahankan selama ini daripada musuh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Konvokesyen Ke-15 di UTeM, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata, graduan juga perlu bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan pekerjaan meskipun, memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian, memandangkan peluang pekerjaan yang terhad.

“Dalam keterujaan kita menyambut baik kehadiran teknologi baharu masa kini, kita tidak boleh leka dengan cabaran yang datang. Penting bagi kita untuk sedar bahawa beberapa jenis pekerjaan tradisi akan hilang dan digantikan dengan peranti, teknologi dan aplikasi pintar.

“Peluang pekerjaan tradisi akan menjadi semakin kabur dan digantikan dengan jenis pekerjaan baru berasaskan aplikasi pintar, mudah alih dan tekonologi terkehadapan.

“Kehadiran teknologi pintar ini berkemampuan menyebabkan ekosistem ekonomi dan sosial berubah. Perkara itu seandainya tidak dihemati akan membawa kesan buruk di masa hadapan,” katanya.

Yang turut hadir, Pro Canselor UTeM, Datuk Wira Ismail Saleh dan Datuk Dr Sabirin Ja’afar; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali serta Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr. Raha Abd Rahim.

CATEGORIES
TAGS