Geng Tebuk: 2 mati ditembak, 2 lolos larikan diri

Geng Tebuk: 2 mati ditembak, 2 lolos larikan diri

Kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak terlibat dalam kegiatan pecah premis perniagaan dan pecah peti besi keselamatan sekitar Melaka.

BANDA HILIR 10 Ogos – Dua daripada empat ahli kumpulan Geng Tebuk ditembak mati di tempat kejadian selepas aksi berbalas tembakan dengan pihak polis berlaku di Jalan TU 61, Taman Tasek Utama, Ayer Keroh awal pagi tadi.

Kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak terlibat dalam kegiatan pecah premis perniagaan dan pecah peti besi keselamatan sekitar Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek merupakan anggota kumpulan disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan yang berlaku sejak tahun lepas.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu sepasukan Polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang melaksanakan risikan Ops Tebuk di sekitar Ayer Keroh sebelum menemui sebuah kereta Nissan Sentra yang mencurigakan masuk ke persimpangan Taman Tasik Utama dengan nombor pendaftaran yang didapati palsu.

Katanya, walau bagaimanapun ketika pihak polis mendekati kenderaan itu, ia terus memecut laju dan berlaku kejar mengejar antara suspek dan polis sebelum kenderaan dipandu suspek terbabas ke bahu kiri jalan.

Empat orang suspek didapati berada di dalam kenderaan itu.

“Dalam kejadian tersebut suspek menyedari kehadiran pihak polis, seorang daripada suspek di bahagian duduk penumpang hadapan bertindak melepaskan beberapa das tembakan dan seorang lagi suspek di bahagian duduk penumpang belakang keluar dari kenderaan dan melibas parang panjang sehingga menyebabkan berlaku tembak menembak antara pihak polis dan suspek.

“Akibat daripada itu, dua daripada mereka yang dipercayai warga asing berusia 30-an maut di tempat kejadian manakala, dua lagi suspek berjaya melarikan diri ke arah belukar berhampiran di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Tebuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, sebentar tadi.

Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan misi mencari dua ahli geng terbabit yang sempat meloloskan diri masih berjalan.

Katanya, pihak polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada kedua-dua suspek yang ditembak mati dan turut merampas sepucuk pistol dan enam kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.

Turut dirampas satu kunci kereta, tiga pasang sarung tangan, sebuah mesin penebuk dinding, sebuah mesin grinder, satu plastik yang mengandungi penutup mulut serta sebuah beg galas mengandungi tiga bilah parang, satu pemotong besi, sebatang penukul besi dan sebatang besi yang diubah suai.

Tambah Mohd Nor Yhazid, dengan tumpasnya kumpulan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan 4 kes berkaitan di Melaka yang berlaku sejak tahun lepas dengan anggaran kerugian RM 172,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 kanun keseksaan.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES