Geng Sampa tumpas : Polis selesai kes tidak sampai 24 jam

Geng Sampa tumpas : Polis selesai kes tidak sampai 24 jam

JASIN 11 Jan. – Tidak sampai 24 jam merompak warga asing di sebuah ladang di Pondok Batang, Simpang Bekoh pada 30 Disember lalu, empat lelaki dikenali sebagai ‘Geng Sampa’ berjaya dicekup polis.

Kesemua suspek berumur antara 22 hingga 43 tahun dan merupakan warga tempatan itu, ditangkap dalam dua serbuan di sekitar Jasin dan Tangkak, Johor pada 30 dan 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, tangkapan dijalankan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki dipercayai pengurus ladang tersebut pada 30 Disember lalu.

Menurutnya, pengadu berusia 23 tahun itu mendakwa lima pekerjanya, warga Bangladesh dan Indonesia didatangi sekumpulan lelaki dalam keadaan menutup muka kira-kira jam 10 malam pada 29 Disember lalu.

“Mangsa dikatakan diikat dan dipukul dengan kayu serta parang sehingga cedera di muka. Suspek kemudian mengambil telefon bimbit dan pasport mangsa,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, semalam.

Jelas Arshad, kumpulan dipercayai baru bergiat aktif itu menjadikan warga asing sebagai sasaran mereka.

“Siasatan mendapati, ketua Geng Sampa berusia 43 tahun ini turut punyai rekod berkaitan kes gaduh sehingga menyebabkan kecederaan.

“Hasil tangkapan tersebut, polis turut merampas beberapa telefon bimbit milik mangsa dengan jumlah kerugian kira-kira RM1,500,” katanya.

Kesemua suspek telah ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, Arshad berkata, kadar indeks jenayah di daerah Jasin bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu menurun sebanyak 10 peratus iaitu 231 kes berbanding 258 kes tahun pada 2017.

“Kes curi motosikal adalah penyumbang tertinggi indeks jenayah di daerah Jasin iaitu sebanyak 64 kes dan 29 darinya berjaya ditemui semula.

“Ia diikuti 60 kes pecah rumah di Merlimau dan Jasin. Manakala kes lain sebanyak 59 kes,” katanya.

CATEGORIES