GCF2019 cetus dimensi baharu industri pelancongan Melaka

GCF2019 cetus dimensi baharu industri pelancongan Melaka

Melaka kekal masyhur di mata dunia!

THE Grand Cultural Festival Melaka River 2019 (GCF2019) telah pun membuka tirai penuh gilang-gemilang baru-baru ini.

Acara perasmian festival edisi ke-13 di Pengkalan Seri Rama itu telah pun disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Festival tersebut yang dijenamakan semula daripada Festival Antarabangsa Sungai Melaka nyata mencipta sejarah tersendiri apabila ia mencatat kehadiran luar biasa iaitu lebih 16,000 pengunjung ketika majlis perasmiannya.

Bukan itu sahaja, GCF2019 juga turut mencatat nama dalam Malaysia Book of Records menerusi acara pesta gendang yang melibatkan paluan 1,500 gendang dikeliling Sungai Melaka.

Menariknya, festival kali ini bukan sahaja mengumpul kedatangan pelbagai kaum dan etnik di negeri ini, bahkan ia mendapat perhatian duta-duta pelancongan dari luar negara selepas ia turut merangkumkan penari dan kumpulan kebudayaan daripada 40 buah negara.

 

SERLAH WARISAN KEBUDAYAAN MELAKA

Melihat kepada penganjuran festival berskala lebih besar tahun ini, bolehlah disimpulkan bahawa penganjuran GCF2019 mampu memberi satu dimensi baharu kepada industri pelancongan Melaka.

Jika sebelum ini Melaka lebih banyak dikenali dengan tempat-tempat menarik dan bersejarah, melalui GCF2019 pelbagai jenis kebudayaan yang ada di negeri ini telah diperkenalkan kepada umum.

Mungkin ada di kalangan orang ramai, khususnya pelancong dari luar, tidak mengetahui bahawa Melaka menyimpan pelbagai khazanah dan warisan kebudayaan yang menarik.

Melalui GCF2019, pelbagai jenis sejarah dan kebudayaan telah dipersembahkan kepada umum menerusi satu pementasan teater muzikal yang melibatkan 800 penari, penyanyi dan kumpulan kebudayaan dari dalam dan luar Melaka.

Teater bertajuk ‘Historical Melaka’ itu menceritakan bagaimana Melaka mula dibentuk ketika era Parameswara, selain turut memaparkan jatuh bangun negeri ini.

Selain itu, teater tersebut turut mengetengahkan masyarakat berbilang etnik yang ada di Melaka, termasuklah masyarakat Baba Nyonya, Chetti dan Serani.

 

KETENGAH PRODUK MELAKA

Tidak hanya menyerlahkan warisan kebudayaan, GCF2019 turut menjadi tapak untuk mengetengahkan pelbagai produk pelancongan yang ada di negeri ini.

Contohnya, pengenalan Batik Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari bersempena GCF2019 tahun ini.

Adly berkata, Batik Melaka merupakan cetusan idea yang bertujuan untuk memperkaya seni warisan Melaka dan dijadikan jenama fesyen eksklusif menggunakan motif batik yang mempunyai identiti dan elemen-elemen Melaka.

Jelasnya, antara elemen-elemen Melaka yang dipamerkan pada batik ini ialah bunga kesidang, kancil, sanggul lintang, makara, bumbung rumah Melaka, kubah masjid, hiasan bumbung istana Melaka, buah Melaka, tangga rumah Melaka, roda kereta lembu, kasut manik nyonya, baju kebaya nyonya dan sulaman tebuk kebaya nyonya.

“Pengeluaran Batik Melaka ini dijangka dapat merancakkan sektor pelancongan sekali gus membantu meningkatkan kehadiran pelancong ke Melaka pada hujung minggu dan musim cuti bagi melihat Batik Melaka dengan lebih dekat lagi seterusnya mencapai sasaran Tahun Melawat Melaka 2019,” kata Adly.

Selain batik, GCF turut memperkenalkan Kopi Melaka dan pelbagai produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) Melaka.

 

 

KESINAMBUNGAN YANG DINANTI-NANTI

Belum pun reda kehangatan GCF2019, dikatakan sudah mula ada permintaan daripada ramai pihak termasuk rakyat Melaka mahukan acara festival ini terus mencipta sejarah dan berlangsung dengan lebih gah pada tahun-tahun mendatang.

Mana tidaknya, melihat kepada sambutan hangat yang diberikan pada penganjuran edisi ke-13 tahun ini iaitu seramai 1.5 juta pengunjung, tidak mustahil bahawa festival ini akan meneruskan kesinambungannya berskala lebih meriah.

Malah, festival ini juga bakal dimasukkan dalam Tahun Melawat Malaysia 2020 seperti yang diakui Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin yang juga sekretariat utama GCF2019.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, memang kita tidak akan lepaskan peluang untuk memasukkan GCF dalam kalendar. Kita juga akan merancang program yang lebih besar dan meriah sebagai persiapan tahun hadapan.

“Perlu saya katakan bahawa kita juga telah mendapat banyak maklum balas daripada pihak luar yang mahu menyertai festival ini yang mana itu merupakan sesuatu yang baik dalam meneruskan kesinambungan festival ini,” katanya ketika sesi wawancara khas MKTalk, baru-baru ini.

Melihat kepada kejayaan yang berlangsung ini, sudah pasti GCF2019 edisi ke-14 pada 2020 nanti bakal menjadi acara yang paling dinanti-nantikan rakyat negeri Melaka.

Diharap, segala perancangan awal oleh agensi terlibat untuk penganjuran mendatang, GCF2019 akan terus menjadi acara pelancongan yang berterusan bukan sahaja bagi negeri Melaka, bahkan untuk negara kita, Malaysia.

CATEGORIES