Gangguan bekalan air di Melaka bukan darurat

Gangguan bekalan air di Melaka bukan darurat

Jangan sebarang sebar berita tidak benar...

BARU-BARU ini telah tular mesej dan rakaman audio seorang lelaki yang mendakwa Kerajaan Negeri Melaka bakal mengisytiharkan darurat susulan gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini sejak beberapa minggu lepas.

Kerajaan negeri melalui Ketua Menteri Adly Zahari telahpun menafikan dakwaan berkenaan.

Persoalannya di sini adakah gangguan bekalan air yang berlaku di Melaka sekarang membolehkan Kerajaan Negeri membuat pengisytiharan darurat seperti dakwaan dalam rakaman audio tular tersebut?

 

DUA JENIS DARURAT DI MALAYSIA

Secara umumnya terdapat dua kategori darurat di Malaysia iaitu Darurat Keselamatan dan Darurat Bencana.

Darurat Keselamatan hanya boleh disytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Pengisytiharan Darurat Bencana pula, apabila perlu, dibuat secara pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara Kerajaan yang sedang berkuatkuasa.

Perkara ini adalah sepertimana dinyatakan Perkara 25 Arahan No 20 Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN 20).

 

TAKRIFAN ‘BENCANA’, ‘DARURAT BENCANA’ DAN ‘KEJADIAN BUKAN BENCANA’

Mengikut Perkara 3 MKN 20, bencana ertinya suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif.

Darurat Bencana pula ditakrifkan sebagai satu keadaan bencana besar yang melibatkan banyak nyawa terkorban, kemusnahan harta benda yang ekstensif, menggugat keadaan sosial, ekonomi dan politik serta keselamatan dan ketenteraman awam.

Seterusnya ‘Kejadian Bukan Bencana’ ertinya kejadian atau kemalangan yang bersifat kecemasan yang melibatkan sejumlah kecil mangsa dan kesannya hanya kepada mangsa terlibat.

Kejadian atau kemalangan yang bercorak ini tidak mempunyai kemungkinan untuk merebak dan kebiasaannya dapat dikendalikan dalam tempoh masa yang singkat oleh agensi-agensi yang berkenaan dengan menggunakan sumber atau kemudahan yang minima di peringkat tempatan.

Berdasarkan takrifan Perkara 3 MKN 20 di atas, situasi semasa gangguan bekalan air di Melaka tidak dianggap sebagai darurat dan tiada pengisytiharan darurat akan dilakukan oleh Perdana Menteri.

Sumber Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) juga menegaskan bahawa tidak ada istilah darurat dalam isu gangguan bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di kawasan-kawasan tertentu di negeri ini.

Ini kerana masalah berkenaan tidak menyebabkan kehilangan nyawa atau kemusnahan harta-benda kepada penduduk yng terjejas.

 

PENGISYTIHARAN ‘KECEMASAN AIR’ DAN PENGUATKUASAAN SEKSYEN 56 AKTA 655

Walaupun masalah gangguan air di Melaka tidak dianggap sebagai darurat ketika ini, Kerajaan Persekutuan boleh mengisytiharkan air pada ‘tahap kecemasan’ dan seterusnya menguatkuasakan Seksyen 56 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 atau Akta 655, sekiranya keadaan benar-benar memerlukan.

Seksyen itu memberi kuasa khas semasa kecemasan berkaitan penggunaan sumber air kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Seksyen 56 akta itu antara lain memberi kuasa kepada menteri berkenaan untuk menghalang penggunaan air secara umum atau untuk kegunaan tertentu, mengehadkan penggunaan dan pengeluaran air pada waktu tertentu, dan mengenakan caj tambahan ke atas penggunaan yang melebihi had yang telah ditetapkan.

Pada Mac 2014, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ketika itu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dilaporkan berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengisytiharkan ‘kecemasan air’ jika negara, yang mengalami musim kering yang berpanjangan waktu itu, tidak menerima hujan dalam tempoh tiga minggu yang berikutnya.

 

TIADA PENGISYTIHARAN ‘KECEMASAN AIR’ DI MELAKA

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail memberitahu MelakaKini bahawa tidak ada keperluan untuk Seksyen 56 tersebut dikuatkuasakan di Melaka pada waktu ini.

“Melihat kepada rancangan Kerajaan Negeri Melaka dalam menangani masalah gangguan bekalan air serta hujan yang turun semalam, tidak ada keperluan sama ada di pihak kementerian atau SPAN untuk membawa sebarang cadangan pengisytiharan ‘kecemasan kecemasan’ kepada Menteri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Adly, isu air di negeri ini dijangka akan selesai sepenuhnya selepas SPAN meluluskan kerja-kerja bekalan mendapatkan air mentah dari Tasik Biru di Jasin ke Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah.

Beliau berkata menerusi pertemuan dengan SPAN semalam, pihak berkenaan telah pun memberi gambaran untuk mempertimbangkan pemohonan Kerajaan Negeri berhubung perkara itu.

Menurutnya, ia antara usaha untuk membangunkan aset air mentah yang mana memerlukan kelulusan di peringkat Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Catuan air, katanya, hanya akan dilaksanakan di kawasan yang terjejas sekiranya perlu.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS