Gangguan air: Penduduk terjejas tanggung kerugian

Gangguan air: Penduduk terjejas tanggung kerugian

#samasamadoa

BUKIT BARU 20 Sept. – Gangguan bekalan air berlaku di negeri ini sejak akhir-akhir ini menjejaskan kehidupan rakyat di 25 kawasan terlibat.

Tinjauan MelakaKini di Pangsapuri Seri Siantan di sini mendapati penduduk benar-benar terkesan dengan permasalahan tersebut.

Lebih menyedihkan apabila ada penduduk di sini perlu menanggung kerugian kerana terpaksa membatalkan kenduri yang perlu dijalankan ekoran masalah gangguan bekalan air.

Menurut G. Parames, 42, dia sepatutnya menjalankan kenduri awal bulan lalu tetapi tepaksa dibatalkan.

“Kemudian saya batalkan untuk kali kedua minggu lalu kerana ketiadaan air.

“Jadi esok nak tak nak saya akan teruskan juga majlis ini sebab dah dua kali tunda. Saya dah beli ayam, kambing dan keperluan lain dan gara-gara masalah ini kami kerugian lebih RM6,000,” katanya.

Ujarnya, penduduk di pangsapuri itu berhadapan masalah air sejak dua minggu lalu.

“Tapi dua tiga hari ni, air langsung tiada. Kalau ada pun sangat kecil itu pun hanya di tingkat satu.

“Emak saya tinggal di tingkat empat, memang air langsung tak naik dan kami terpaksa bantu dia bawa air ke atas,” katanya.

Tambah Parames, walaupun pihak berkaitan menghantar bantuan bekalan air tetapi ia tidak mencukupi.

“Jadual penghantaran juga agak bermasalah, kami tunggu dari pagi supaya dapat air cepat tetapi bila air lambat, kami terpaksa dapatkan air di tempat lain dan bawa ke rumah.

“Saya harap masalah ini dapat diuruskan dengan baik. Kalau boleh hantar air lebih cepat dan ikut jadual untuk mudahkan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Seri Siantan, Hamzah Ab. Hamid, 41, berkata, masalah itu bermula sejak Februari lalu.

“Air memang ada, tapi tak konsisten. Misalnya, hari ni ada, tiga empat hari kemudian tak ada.

“Paling teruk penduduk di tingkat dua, tiga dan empat. Langung tak ada air,” katanya.

Beliau tidak menafikan bantuan air yang diberikan walaupun sedikit, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masalah mereka.

“Semalam ada tiga lori tangki hantar air sebelah petang, jadi adalah bekalan sedikit untuk pagi ni dan sekarang kita masih menunggu untuk simpanan lain,” katanya.

Hamzah berkata, dia meminta wakil rakyat turun padang dan melihat masalah penduduk apabila perkara seumpama itu berlaku.

“Datang sini tengok apa terjadi, sekurang-kurangnya kami tahu nak adukan pada siapa,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Nazri Adom, 38, berkata, terpaksa mengangkat air hingga ke tingkat empat dan ia sangat memenatkan.

“Oleh kerana memang air terus terputus, kami tak boleh buat apa-apa.

“Hari ni pun saya cuti, jadi bolehlah saya tunggu air dan angkat perlahan-lahan ke rumah. Petang pun adakala tak sempat nak ambil air sebab tak balik dari kerja,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS