Gagal daftar : 2 pemilik pusat jagaan didenda – Mahkamah

Gagal daftar : 2 pemilik pusat jagaan didenda – Mahkamah

ALOR GAJAH 12 Feb. – Dua pemilik pusat jagaan dihukum denda oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini kerana dituduh gagal mendaftarkan pusat jagaan dikendalikan mereka secara sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, Nurul Huda Ramli, 35, didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaan miliknya yang beroperasi di Taman Sri Permata, Alor Gajah di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (AKTA 506).

Nurul Huda bagaimanapun, merayu meminta hukuman diringankan kerana telah membayar pelbagai kos untuk mendapatkan kelulusan menjalankan operasi pusat jagaan itu.

Akibat kesalahan itu, dia didenda RM2,000 atau penjara tidak lebih dua bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah.

Manakala tertuduh kedua, Siti Syakirah Mukthar, 35, didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaannya terletak di Taman Samarinda, di sini. Bagaimanapun, dia didenda RM4,000 atau penjara tidak lebih dua bulan.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun, telah membayar denda mereka di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993 (AKTA 506) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (2) Akta yang sama.

Pertuduhan terhadap kedua-dua pemilik pusat jagaan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Majistret Zaridah Y. Abdul Jaapar.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JKM, Eny Edayu Mat Ali dan Nur Aswana Selamat.

Terdahulu, siasatan yang dijalankan oleh pegawai JKM Alor Gajah di kedua-dua pusat jagaan tersebut sekitar Julai 2017, didapati kedua-dua pusat jagaan itu tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (AKTA 506).

CATEGORIES
TAGS