Gabungan politik, inovasi asas pembangunan Melaka

Gabungan politik, inovasi asas pembangunan Melaka

Melaka perlukan lebih banyak inovasi untuk menjadi negeri maju

 

oleh: Zaipul Anwar Zainu
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak

INOVASI memainkan peranan sangat penting dalam pertumbuhan ekonomi. Keupayaan mengatasi masalah yang kritikal dalam sesebuah negeri adalah juga bergantung kepada inovasi baru, terutama dalam bidang teknologi.

Inovasi membolehkan sesebuah negeri kekal relevan dalam persaingan bagi meningkatkan kebolehpasarannya menghadapi cabaran semasa terutama bagi sebuah negeri yang sedang membangun seperti Melaka.

Apakah inovasi dan mengapakah kita memerlukannya?

Inovasi secara ringkasnya didefinisikan sebagai pengenalan atau pelaksanaan kepada sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk idea, perkhidmatan ataupun produk.

Tanpa inovasi maka tiadalah sesuatu yang baharu. Tanpa sesuatu yang baharu, tiadalah kemajuan dan pembangunan.

Jika sesebuah organisasi atau negeri itu tiada kemajuan atau pembangunan maka ia tidak boleh kekal lama dalam sebuah pasaran yang kompetitif.

Inovasi juga membawa pembaharuan walaupun kadangkala pembaharuan boleh mengakibatkan sesuatu akibat yang tidak baik tetapi pembaharuan selalunya menghasilkan perubahan yang positif terutama jika pembaharuan itu dilakukan secara terpimpin dengan panduan agama dan akhlak yang baik.

Hasil daripada Inovasi

Oleh kerana inovasi mempunyai impak besar kepada pelbagai aspek dalam kehidupan, adalah tidak mungkin untuk kita menyenaraikannya satu persatu di sini.

Tulisan ini memfokuskan perhatian kepada definisi inovasi yang paling signifikan sahaja dahulu iaitu definisi yang berdasarkan kepada slogan negeri Melaka itu sendiri.

Slogan negeri Melaka yang berkaitan dengan inovasi didefinisikan sebagai sebuah kerajaan yang secara inklusif dan inovatif adalah sentiasa terbuka kepada penambahbaikan dengan mengutamakan peningkatan kepintaran, kehijauan dan kebersihan serta peduli kepada rakyatnya.

Slogan ini sebenarnya bertepatan dengan pandangan umum masyarakat hari ini yang melihat hasil daripada inovasi ialah penambahbaikan kepada pembangunan ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup, kemudahan pendidikan dan pemuliharaan serta pengawalan alam sekitar.

Pembangunan Ekonomi

Inovasi dalam bidang teknologi adalah sesuatu yang dianggap sebagai punca utama kepada pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu antara objektif utama inovasi adalah untuk mencari idea dan jalan bagaimana ekonomi boleh dipertingkatkan dengan meningkatkan penggunaan teknologi.

Penggunaan teknologi pula sepatutnya akan menambah output atau produktiviti sesuatu proses dengan menggunakan input yang sama.

Contoh paling mudah adalah peningkatan produktiviti yang tinggi dalam sesebuah syarikat pengeluaran dengan menggunakan sistem automasi tanpa perlu menambah jumlah pekerja mereka.

Kecanggihan teknologi ketika ini membolehkan sesuatu proses pengeluaran itu dijalankan walaupun pekerja berada beribu batu jauhnya dari pusat pengeluaran dengan penggunaan teknologi “Internet of Things” misalnya.

Berdasarkan kepada asas ini, Melaka memerlukan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi untuk melabur dan memulakan perniagaan di negeri ini.

Walaupun Melaka terkenal dengan industri pelancongan namun industri pengeluaran dan teknologi maklumat (IT) berteknologi tinggi masih belum mencapai tahap optimumnya.

Oleh itu usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan penglibatan syarikat berinovasi dan berteknologi tinggi untuk berdagang ke Melaka.

Peningkatan Kesejahteraan Hidup

Secara umumnya, jika inovasi dan pertumbuhan ekonomi dilakukan dengan baik, ia akan meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Satu kajian yang dilakukan di Wharton University mendapati bahawa purata kepuasan hidup rakyat meningkat dengan tinggi di negara yang GDPnya juga tinggi.

Secara umumnya negara yang mempunyai GDP yang tinggi ini juga mempunyai kadar inovasi yang tinggi.

Oleh itu ada korelasi yang jelas antara kesejahteraan hidup rakyat dengan kadar inovasi dalam sesebuah negeri.

Lebih banyak aktiviti kreativiti dan inovasi dalam sesebuah negeri itu maka akan lebih tinggi pula tahap kehidupan sesebuah negeri itu.

Melaka sememangnya sejak dahulu terkenal dengan inovasi rakyatnya.

Melaka pernah menjadi negeri pelabuhan terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 hingga 16.

Keadaan ini dapat digambarkan dengan kata-kata Duarte Barbosa, seorang pedagang Portugis yang datang ke Melaka bersama Ferdinand Magellan, katanya, “Sesiapa yang menguasai Melaka, akan dapat menguasai perdagangan dunia”.

Begitulah signifikannya kepentingan Melaka kepada dunia ketika itu. Tidak mustahil perkara ini boleh dicapai semula pada masa akan datang.

Sekurang-kurangnya Melaka mampu membangunkan semula industri maritimnya jika prestasi peningkatan inovasi rakyat Melaka dapat ditingkatkan secara bersistematik.

Kemudahan Pendidikan

Menurut Laporan Tahunan Bank Dunia, sejak tahun 2016, tujuh daripada 10 orang di 20% negara termiskin di dunia memiliki sebuah telefon bimbit.

Perkembangan teknologi hari ini memudahkan rakyat di negara termiskin di dunia juga boleh memiliki sebuah telefon bimbit.

Menurut laporan itu juga, populasi pekerja mobiliti (mobile workers) juga akan meningkat daripada 96 juta orang kepada 105 juta orang pada 2020.

Dengan inovasi dalam bidang teknologi mudah-alih, bertambahnya penggunaan telefon pintar serta peningkatan kelajuan internet telah meningkatkan jumlah pekerja mobilti ini dengan banyaknya.

Keadaan ini akan berterusan pada masa akan datang dengan peningkatan teknologi yang semakin berkembang.

lebih ramai manusia di muka bumi ini akan mendapat akses kepada ilmu pengetahuan dan seterusnya meningkatkan kadar pendidikan mereka.

Jika sekarang anak-anak kita perlu ke sekolah atau ke universiti untuk mendapatkan pendidikan, pada masa akan datang akses kepada pendidikan boleh dilakukan di mana-mana hatta dalam hutan belantara sekalipun asalkan ada akses internet dan keadaan ini sebenarnya telah pun berlaku sekarang.

Jika dahulu kita perlu mendaftar dengan sebuah universiti untuk mendapatkan diploma atau ijazah, kini kita boleh mendaftar dengan sebuah portal pendidikan online yang akan mendaftarkan kita dengan berbelas universiti yang kemudiannya akan mengumpulkan subjek yang kita telah lulus untuk dirangkumkan menjadi sebuah diploma atau ijazah.

Semuanya secara atas talian atau “online”.

Teknologi telah merapatkan jurang pendidikan antara penduduk luar bandar dengan penduduk di bandar.

Penduduk Melaka perlu mengambil peluang dengan teknologi yang ada hari ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan taraf pendidikan mereka, seterusnya membantu Melaka menjadi negeri lebih inovatif.

Pemuliharaan dan Pengawalan Alam Sekitar

Isu-isu berkaitan pencemaran alam sekitar adalah isu hangat diperkatakan hari ini. Banyak contoh yang dapat dilihat di negara kita sekarang.

Pengabaian terhadap alam sekitar seperti pembangunan tanah tinggi yang rakus, pembuangan sisa cecair dan pepejal secara berleluasa, pembakaran terbuka yang tidak terkawal hingga menyebabkan jerebu, telah menunjukkan kesannya kepada kita sekarang dan akan terus memudaratkan kita pada masa akan datang.

Pembangunan yang rakus tanpa mengira kesan jangka panjang terhadap alam sekitar perlu dicegah. Usaha untuk memastikan kelestarian alam sekitar memerlukan kerja yang banyak dengan penyelesaian yang inovatif bagi memastikan keberkesanannya dalam jangka masa panjang.

Kuasa politik sahaja tidak mencukupi untuk memastikan perubahan kepada kelestarian alam sekitar. Perubahan polisi juga akan mengambil masa untuk menunjukkan kesan.

Survival jangka panjang manusia dan alam sekitar pada masa akan datang bergantung kepada inovasi baru dalam bidang teknologi khususnya yang berkait rapat dengan kelestarian alam sekitar selain keazaman politik sebuah kerajaan yang berwibawa.

Kuasa teknologi adakalanya boleh memainkan peranan yang lebih penting dalam membawa perubahan berbanding politik.

Oleh itu, peranan kedua-dua pihak iaitu politik dan teknologi perlu digabungkan dan seiring untuk meningkatkan inovasi dalam pembangunan di Melaka yang bertuah ini.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES