Fokus bina rumah buat golongan memerlukan

Fokus bina rumah buat golongan memerlukan

Lebih banyak pembinaan rumah untuk rakyat akan dibina bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) & M40....

AYER KEROH 15 Mei – Kerajaan Negeri Melaka sedang dan bakal membina sebanayak 915 unit rumah yang mampu dimiliki rakyat di negeri ini di Mukim Durian Tunggal Alor Gajah.

Ia melalui kerjasama pemaju yang dilantik iaitu Scientex Heights Sdn. Bhd. melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 2,520 unit rumah.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata pembangunan perumahan itu membabitkan tiga jenis rumah iaitu Rumah Belia, Rumah Harapan dan Rumah Mampu Milik (RMM).

“Jumlah keseluruhan fasa 1 dan 2 projek itu membabitkan 173 Rumah Harapan, 280 Rumah Belia dan 462 unit RMM.

“Fasa 2 kita dah mulakan Mac 2019 lalu, bagi fasa 1 akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan keseluruhannya dijangka siap pada Mac 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Scientex Heights Sdn. Bhd. di Bilik Bijasura Seri Negeri, hari ini.

Jelasnya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 1,605 adalah pembinaan bagi unit terbuka.

“Dengan adanya perjanjian ini, kita yakin bahawa keperluan perumahan dalam kalangan rakyat golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 dapat dipenuhi,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Ketua Eksekutif LPM, Salleh Md Dom dan Pengarah Eksekutif Scientex Heights Sdn. Bhd., Alex Khaw.

CATEGORIES
TAGS