Categories: MELAKAPELANCONGAN

Feri Melaka pilihan warga Indonesia balik kampung

MELAKA, 3 Jun – Kemudahan pengangkutan feri di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQ) Melaka di Muara Sungai Melaka, di sini, menjadi pilihan warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman mereka sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut warga Indonesia yang ditemui Bernama, mereka memilih perkhidmatan feri dari Melaka ke dua lokasi di Kepulauan Sumatera iaitu Bengkalis dan Dumai kerana faktor jarak yang lebih dekat selain kemudahan terminal feri dan ICQ Melaka yang lebih selesa serta tambang lebih murah.

Ab Ghani Muda, 58, seorang penyelia ladang kepala sawit di Temerloh, Pahang, berkata kos pengangkutan feri pergi balik yang murah iaitu RM195 seorang ke kampung halamannya di Dumai  membuatkan beliau memilih untuk menaiki feri bersama isteri serta dua anaknya.

“Boleh naiki kapal terbang tetapi harga tiketnya antara RM300 hingga RM500 seorang (Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka ke Dumai), kosnya mahal kerana itu saya naik feri di Melaka,” kata lelaki berketurunan Minang itu, hari ini.

Beliau berkata sememangnya masa perjalanan lebih singkat iaitu 45 minit jika menggunakan kapal terbang berbanding dua jam dengan feri, namun beliau melihat ia memberi nilai terbaik untuk wang dan menggunakan perkhidmatan itu sejak tinggal lebih 10 tahun di negara ini.

Disa Suharni, 32, seorang operator pengeluaran di Batu Berendam, di sini, berkata beliau memilih pengangkutan feri kerana ia memudahkan beliau membawa lebih banyak barang untuk kegunaan Aidilfitri keluarganya di Bengkalis.

“Banyaknya pakaian, adik-adik memesan pakaian untuk Hari Raya. Bapa saya memesan minuman segera seperti kopi 3 dalam 1 dan minuman coklat. Jika dibawa menggunakan kapal terbang saya perlu membayar kos amat mahal,” katanya yang tinggal di negara ini sejak lima tahun lepas.

Beliau yang berketurunan Jawa itu berkata, ini merupakan kali ketiga beliau pulang ke kampung halamannya sejak tinggal di Malaysia dan menggunakan feri untuk pulang kerana melihat pengangkutan itu lebih murah serta mudah untuk digunakan.

Petugas ICQ Melaka, Ariffin Sani, 29, berkata, kompleks itu menerima kehadiran lebih 300 penumpang sehari minggu lepas, namun agak berkurangan kepada kira-kira 200 orang sehari ketika sambutan Adilfitri berbaki dua hari lagi.

“Pada hari biasa kita menerima sekitar 50 hingga 100 penumpang dengan dua perjalanan ke Dumai dan Bengkalis, tetapi musim perayaan seperti ini bilangan penumpang itu bertambah membuatkan pengusaha feri menambah perkhidmatan kepada empat atau lima perjalanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata bilangan perjalanan dan masa feri berlepas adalah bergantung kepada keadaan pasang surut Muara Sungai Melaka kerana feri sukar melalui bahagian cetek ketika muara sungai surut.- BERNAMA

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago