Fasiliti pengangkutan awam untuk OKU, warga emas perlu ditambah baik

Fasiliti pengangkutan awam untuk OKU, warga emas perlu ditambah baik

Pastikan hak kesamarataan golongan rentan (vulnerable), OKU dan warga emas adalah terjamin...

PUTRAJAYA, 22 Okt – Audit aksesibiliti untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di lokasi pengangkutan awam mendapati terdapat keperluan untuk menambah baik fasiliti tersebut supaya mencapai standard sejagat, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Menurutnya, audit aksesibiliti yang dijalankan Kementerian Pengangkutan itu bertujuan menilai kebolehgunaan dan tahap keselamatan kemudahan pengangkutan yang melibatkan perkhidmatan bas dan rel, stesen-stesen pengangkutan awam, lapangan terbang dan perkhidmatan feri.

Beliau berkata antara contoh keperluan golongan warga emas dan OKU ialah eskalator, lif dan ramp, sementara golongan OKU pendengaran memerlukan pengumuman perubahan jadual perjalanan kereta api dan bas secara visual.

Penyedia dan operator perkhidmatan bas dan teksi pula perlu memahami keperluan golongan berkerusi roda dengan menjadikan kenderaan mereka mesra OKU, katanya.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memastikan hak kesamarataan golongan rentan (vulnerable), OKU dan warga emas adalah terjamin,” katanya ketika berucap merasmikan seminar ‘Barrier Free In Transportation’ di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Kamarudin berkata kesemua lapangan terbang dan terminal bas di negara ini sudah diarahkan supaya peka dengan keperluan golongan berkerusi roda dan cacat penglihatan.

Seminar sehari itu bertujuan mengumpul teguran dan cadangan selain memahami keperluan golongan khas dalam merancang kemudahan pengangkutan awam negara. Ia disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, syarikat pengangkutan swasta, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS