Categories: Ketua MenteriMELAKA

Empangan Jerneh tetap akan dibina tahun ini – Adly

DIN AHMAD

LUBOK CINA 12 Feb. – Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menegaskan, Empangan Jerneh bernilai hampir RM200 juta akan tetap dibina tahun ini sekali gus memberi jaminan tiada lagi penangguhan berikutan kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Negeri Sembilan dalam menyelesaikan beberapa aspek berkaitan sempadan.

Tegas beliau, pegawai kedua-dua kerajaan negeri sudah beberapa kali mengadakan perbincangan berkaitan sempadan sungai antara kedua-dua negeri yang menjadi sumber utama air ke empangan itu.

Katanya, walaupun masih ada beberapa aspek yang memerlukan perincian untuk dimuktamadkan, kerajaan negeri yakin ia mampu diselesaikan melalui konsep kerjasama antara kerajaan negeri dalam Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, tegasnya, tiada penangguhan lagi untuk membina empangan berkenaan di Kampung Sungai Jerneh dan FELCRA Ramuan Cina Kecil (RCK), di sini walaupun masih ada beberapa aspek berhubung sempadan yang belum dimuktamadkan.

Beliau menjelaskan, projek itu tetap dilaksanakan tahun ini selepas kerajaan negeri memperincikan pelan pembinaannya berasaskan konsep ‘Off River Dam’ iaitu penyaluran air dari beberapa sungai yang sebahagian daripadanya berada dalam Melaka dan sebahagian lagi di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pegawai kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai Kerajaan Negeri Sembilan bagi memuktamadkan hal berkaitan sempadan beberapa sungai yang menjadi sumber bekalan air utama ke empangan itu.

Empangan Jerneh mempunyai kadar takungan 13,000 juta liter air dan tidak dibina atas konsep penyaluran sungai dan anak sungai ke empangan, sebaliknya ia membabitkan pembinaan paip utama sepanjang lima kilometer dari sungai ke empangan.

“Air dari sungai dipam ke dalam empangan dan disalurkan ke luar melalui daya graviti dan ia mampu memenuhi keperluan air penduduk negeri ini,” katanya ketika ditemui meninjau lokasi cadangan pembinaan Empangan Jerneh dan sumber air di sekitar Sungai Rembau dan Sungai Linggi di Lubok Cina, dekat sini hari ini.

Adly menghabiskan kira-kira tiga jam meninjau lokasi berkenaan bagi mengenal pasti pelbagai aspek yang berkaitan dengan usaha meningkatkan sumber air di negeri ini terutama mengenai penyaluran air dari beberapa sungai di Negeri Sembilan ke empangan berkenaan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Projek Empangan Jerneh dicadangkan mulai 2013 tetapi ditangguhkan sejak dua tahun lalu berikutan beberapa faktor tertentu tetapi dicadang dimulakan semula berikutan kekurangan sumber bekalan air di negeri ini.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri memerlukan RM36 juta sebagai peruntukan tambahan kepada RM163 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek berkenaan yang mampu mengatasi masalah bekalan air di negeri ini dan setakat ini, RM73 juta sudah dibelanjakan bagi pampasan pengambilan tanah.

Kampung Sungai Jerneh kaya dengan sumber mata air yang membantu menyediakan air untuk empangan itu, selain lokasinya di tengah-tengah lembah yang memudahkan air disimpan dalam empangan.

Tiga empangan utama di negeri ini ialah Empangan Durian Tunggal di sini, Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin tetapi cuaca panas sejak beberapa bulan lalu menyebabkan paras air di empangan berkenaan berkurangan.

Ia mendorong kerajaan negeri melaksanakan Bekalan Air Berjadual sejak 29 Januari lalu hingga 29 Februari ini.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat
Tags: utama

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

3 hours ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

2 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

2 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

2 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

2 months ago