Categories: NASIONAL

EAEC perlu dimulakan

TOKYO, 11 Jun – Inisiatif Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) perlu dimulakan susulan perlindungan perdagangan yang semakin meningkat oleh negara seperti Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyatakan beliau masih berminat dengan penubuhan kaukus itu, Dr Mahathir berkata sebelum ini, cadangan itu tidak diteruskan berikutan bantahan daripada AS.

“Bagaimanapun, AS kini sudah kembali semula kepada pemencilan, negara itu tidak berada dalam kedudukan untuk menuntut supaya kita tidak menubuhkan EAEC. Oleh itu, kita perlu menimbang pembentukan EAEC secara lebih serius,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei kali ke-24, di sini pada Isnin.

Beliau berkata cadangan zon perdagangan bebas serantau itu bukan sahaja melibatkan negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara tetapi juga negara seperti India dan negara lain di Asia Tengah.

Dr Mahathir, yang melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun, mengilhamkan penubuhan EAEC pada 1997.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan negara yang berlainan perlu mendapat layanan yang berbeza apabila berkaitan dengan perdagangan bebas.

Ini, jelasnya, terdapat negara yang mungkin memerlukan perlindungan berikutan mereka tidak dapat bersaing dengan negara dagangan utama dunia disebabkan kelemahan tertentu atau kekurangan kapasiti.

Dr Mahathir juga berkata beliau tidak begitu berminat dengan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berikutan ia akan memberi kesan kepada Malaysia.

“Bagaimanapun, dalam organisasi baharu di Asia Timur, kita akan mempunyai organisasi perdagangan bebas,” katanya, sambil menegaskan negara yang mempunyai kapasiti berbeza untuk bersaing perlu diberikan pertimbangan yang wajar.

“Ia seperti bermain golf, apabila anda bermain golf, anda memerlukan handicap dengan pemain paling lemah mendapat handicap paling tinggi, supaya persaingan itu lebih adil,” jelasnya.

Mengenai perdagangan bebas, Perdana Menteri berkata ternyata beberapa negara maju mendapati perdagangan bebas tidak begitu diterima, memetik AS yang mahu melindungi perdagangannya.

“Jika AS, sebuah negara besar dengan ekonomi terbesar di dunia…percaya kepada sekatan perdagangan, ia tidak wajar.

“Bagaimanapun, bagi negara kecil ia wajar kerana mereka tidak dapat bersaing pada kedudukan yang sama seperti negara-negara besar yang lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau menyokong satu kumpulan tunggal dari seluruh dunia yang tertakluk kepada standard yang sama selain memberi pertimbangan yang sewajarnya  kepada kelemahan dan kekuatan negara lain.

Mengenai China, Perdana Menteri berkata pasarannya yang besar ternyata menarik negara lain termasuk Asia Tenggara.

“Kita mahu akses ke pasaran ini. Oleh itu, kita perlu berurusan dengan China sama ada kita suka atau tidak,” katanya, sambil menambah cara terbaik adalah berusaha dan berunding sebagai sebuah kumpulan berbanding negara individu.

“Sebagai (negara) individu, kita tidak boleh berharap untuk menyakinkan China apa-apa. Tetapi, jika seluruh Asia Tenggara (misalnya) melalui EAEC untuk berunding dengan China…saya fikir China akan bersetuju,” katanya.– BERNAMA

Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria

Leave a Comment
Share
Published by
Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria
Tags: utama

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

11 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago