Dua beradik harumkan nama negara

Dua beradik harumkan nama negara

Tahniah!

AYER KEROH 14 Ogos – Dua adik-beradik berjaya melakar kejayaan cemerlang menerusi pertandingan aritmetik mental di peringkat antarabangsa.

Penglibatan Nur Qashrina Maisarah Zuhaidin, 14, dan adiknya, Nur Adriana Humaira Zuhaidin, 10, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Melaka.

Pada pertandingan itu, Nur Qashrina telah merangkul tempat keempat bagi Peringkat 6, manakala, adiknya berjaya bergelar juara untuk Peringkat 5 Pertandingan Antarabangsa Aloha Aritmetik Mental di Guangzhou, China Julai lalu.

Bapa mereka, Zuhaidin Ishak berkata, kejayaan tersebut antara saat paling manis bagi Nur Adraiana kerana dalam pertandingan sama di Moscow, Rusia tahun lalu dia hanya mendapat tempat ketiga bagi Peringkat 4 dan Nur Qashrina merangkul tempat sama iaitu keempat bagi Peringkat 5.

“Kemenangan ini merupakan hasil dari latihan latihan berterusan mereka. Saya bertanggungjawab melatih anak-anak sejak awal tahun dengan memastikan mereka menyiapkan sekurang-kurangnya tiga latihan setiap minggu.

“Semangat juang yang kental barsaing tanpa mengenal kalah juga merupakan rahsia kejayaan mereka,” katanya.

Tambah Zuhaidin, Nur Adriana dan Nur Qashrina turut dihantar ke kelas aritmetik mental dibawah kelolaan William Poh (Pengurus Aloha Aritmetik Mental Melaka) sejak berusia 6 tahun.

Nur Adriana adalah pelajar tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Jalan Dato’ Palembang, manakala kakaknya Nur Qashrina pelajar tingkatan 2 Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah.

Lebih 600 peserta dari 20 buah negara seluruh dunia telah menyertai pertandingan tersebut termasuk Rusia, Mexico, Bangladesh, China, Sepanyol, Panama, Indonesia dan banyak lagi.

Pertandingan tersebut mencabar peserta menyelesaikan permasalahan matematik yang mengandungi 70 soalan dalam masa 5 minit.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES