Dron kargo bakal cipta evolusi terbaharu dalam sejarah penghantaran barang negara

Dron kargo bakal cipta evolusi terbaharu dalam sejarah penghantaran barang negara

Wow Dron Gergasi. Rare..

BATU PAHAT, 11 Sept – Jika sebelum ini Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencipta sejarah sehingga tercatat namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR), melalui kuliah tertinggi yang diadakan di Basecamp Gunung Everest tahun lalu, kini satu lagi sejarah bakal tercipta.

Ini apabila sejak 24 Jun lalu, universiti yang terletak di Parit Raja, Batu Pahat Johor ini, sedang membangunkan ‘dron gergasi’ pertama di Malaysia yang akan berfungsi mengangkut barangan sekali gus menjadi yang pertama dikenali sebagai dron kargo.

Ketua Projek Dron Kargo UTHM Dr Zamri Omar berkata projek berkenaan membabitkan seramai 45 warga UTHM, yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar dari universiti berkenaan.

Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM itu berkata pembinaan dron kargo yang diberikan gelaran ‘C-Drone’ turut mendapat kerjasama dan galakan, daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila diberikan geran penyelidikan bernilai hampir RM1 juta.

“Kita telah menerima Skim Geran Penyelidikan Translasi (TRGS) daripada KPM yang bernilai RM955,000 dan diberikan masa selama 14 bulan,untuk menyiapkan dron yang bersaiz anggaran diameternya adalah 4.8 meter.

“Setelah memasuki bulan kedua (Ogos), kami telah mempunyai rangka asasnya yang berbentuk bulat serta anggaran beratnya sekitar 450 kg, di mana ia akan mampu menampung beban barangan seberat 180 kg,” katanya dalam satu temuramah bersama Bernama, baru-baru ini.

Menurut Zamri, bagi membangun dron berkenaan pihaknya telah membahagikan kerja kepada empat kumpulan dan fasa pembinaan.

Kumpulan atau fasa pertama melibatkan peringkat struktur, diikuti tiga kumpulan dan fasa yang lain iaitu; janakuasa atau enjin; kawalan dan operasi; manakala yang terakhir membabitkan, rekabentuk luaran dron berkenaan.

“Selain itu, kita juga turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pensyarah, serta penyelidik daripada beberapa universiti awam dan swasta, serta beberapa pihak industri yang berminat untuk menggunakan dron kami nanti.

“Pihak UTHM juga telah mendapatkan pandangan serta kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), terutamanya berkaitan dengan rekabentuknya serta lesen daripada mereka,” kata beliau.

Pihak CAAM juga turut menjelaskan hanya individu yang mempunyai lesen penerbangan (PPL) saja, yang dibenarkan menerbangkan dron terbabit, yang mana individu berkenaan juga dikenali sebagai juruterbang, katanya.

Jelas Zamri lagi, idea untuk membangun C-Drone itu bermula pada tahun 2017 lagi, apabila melihat keperluan untuk mengangkut serta menghantar barangan dengan lebih cepat kepada pengguna.

Katanya, penghantaran barangan sekarang dilakukan hanya menggunakan kenderaan seperti kapal terbang, kapal dan lori yang mengambil masa yang agak lama serta ruang penghantaran yang agak terhad.

“Sekiranya penghantaran barangan dapat dilakukan dengan menggunakan dron ini, ia tidak memerlukan ruang yang besar seperti lapangan terbang serta masa penghantaran dapat disingkatkan, tidak sebagaimana penggunaan lori yang sering tersekat dalam lalu lintas.

“Bagi penggunaan dron ini, kami menjangkakan setelah dicaj dron berkenaan mampu bergerak sehingga 200 kilometer atau dua jam perjalanan. Kami juga dalam perancangan untuk menggunakan tenaga solar bagi menambah jangka hayat kuasa dron terbabit,” tambah Zamri.

Justeru, dengan adanya dron berkenaan, ia mungkin boleh memudahkan aktiviti penghantaran barang pada masa hadapan, katanya.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES