Dialog buka minda pelajar ketahui pasaran Industri

Dialog buka minda pelajar ketahui pasaran Industri

Ini baru sikit.. Banyak lagi yang kena 'explore'...

SELANDAR, 13 Ogos – Program Dialog Industri IR 4.0 yang diadakan di Kolej Komuniti Selandar, baru-baru ini berjaya mencapai matlamatnya ke arah melahirkan golongan pelajar yang berpengetahuan terutama dalam meningkatkan kebolehpasaran industri.

Program anjuran Kolej Komuniti Selandar yang bertemakan “Transformasi Digital Pelajar” dan disertai seramai 290 pelajar Kolej Komuniti di Melaka dan Negeri Sembilan itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah, Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Kolej Komuniti, Mohamad Amin Hamat

Menurut Pengarah Program dan Pegawai Perhubungan Industri Dan Alumni, Kolej Komuniti Selandar, Nor Hidayah Ahmad Mustafa, menerusi sesi dialog yang turut disertai 21 pemain industri dari Melaka dan Negeri Sembilan, ia dapat memberi pendedahan berkaitan Industri 4.0 bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada kakitangan kolej.

Majlis Dialog yang disertai oleh panel daripada pemain industri dari Melaka dan Negeri Sembilan.

“Menerusi program ini, peserta dapat mengetahui sasaran dan hala tuju mereka dalam menghadapi era industri terkini dan kualiti kebolehpasaran graduan khususnya bagi Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan dapat ditingkatkan dengan menambahkan lagi ruang penempatan latihan industri dan penempatan kerja kepada graduan kolej komuniti,”katanya.

Nor Hidayah berkata, kerjasama yang erat di antara pihak industri dan kolej komuniti bukan sahaja mencakupi bidang kurikulum, latihan, pengajaran dan pembelajaran bahkan pelajar juga berpeluang untuk mendengar dan melihat sendiri matlamat dan kehendak industri sekaligus meningkatkan mutu lulusan graduan Sijil Kolej Komuniti yang dihasilkan Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, secara keseluruhannya, program itu mencapai matlamat dan objektifnya kerana banyak input yang berguna diperolehi oleh pelajar dari pelbagai bidang sebagai persediaan mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak

Beliau berkata, menerusi jalinan kolaborasi bersama pemain industri itu juga, ia dapat memberi pengetahuan dan peluang kepada penganjur dalam mendapatkan maklumbalas serta cadangan daripada pihak industri untuk menambahbaik kualiti graduan Kolej Komuniti

Selain sesi dialog, turut diadakan Jualan amal dan hasil untuk diinfaqkan kepada pihak memerlukan, kursus pendek kepada komuniti, jualan pelajar dan pameran dari agensi dan industri luar.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Dan Industri, Nur Azureen Jaafar.

Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES