Categories: MELAKARENCANA

Desakan pemecatan Latheefa, bersifat konspirasi atau tuntutan perundangan negara?

Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah, B.K.T
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media (FKPM)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka
anwarfahmi36@gmail.com

PENDEDAHAN maklumat perbualan sulit bersama proksi dalam dan luar negara berkaitan isu skandal 1MDB yang dilakukan secara terbuka oleh Ketua Pensuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Bebe Koya di hadapan para wartawan, menimbulkan pelbagai reaksi dan maklumbalas daripada pelbagai pihak di negara ini.

Lantaran pendedahan bahan bukti melalui perbualan rakaman suara itu menyebabkan pelbagai pihak bertindak membuat laporan polis selain mantan Perdana Menteri tampil menyaman KP SPRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil dan merakam percakapan KP SPRM sesegera mungkin disebabkan wujud laporan terhadap mendedahkan bahan bukti secara terbuka.

Reaksi awal Latheefa pula menjelaskan wujud konspirasi dangkal dan jahat untuk menggugat dan menjatuhkan beliau daripada memegang jawatan selaku Ketua Jabatan (SPRM) dan juga menjalankan tanggungjawab sebagai KP SPRM yang diberikan mandat sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad agar agenda pembanterasan rasuah dilakukan sebaik mungkin selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Persoalan utama yang sedang diperdebatkan oleh pelbagai pihak termasuk golongan profesional dan masyarakat sivil adalah, wajar atau tidak sesuatu kes dan bahan bukti berupa rakaman perbualan, video dan identiti pelaku didedahkan kepada umum sebelum mahupun ketika kes berkaitan sedang dalam siasatan pihak berkuasa hatta dalam perbicaraan mahkamah di negara ini.

Merujuk Akta Whistle blower Protection Act 2010 yang diluluskan Parlimen yang berkait terus dengan Akta 711 Perlindungan Pemberi Maklumat dan 696 Perlindungan Saksi, sebarang maklumat, audio, video, rakaman perbualan, bahan kes, bahan bukti, identiti pelaku dan pemberi maklumat tidak boleh didedahkan secara umum selagi kes berkaitan belum dirujuk kepada pendakwa raya, pihak berkuasa mahupun perbicaraan di makahmah yang telah menjatuhkan hukuman.

Akta ini diwujudkan untuk melindungi keselamatan pemberi maklumat daripada sebarang ancaman termasuk remedi dan juga membolehkan pihak agensi keselamatan dan Mahkamah membuat siasatan serta perbicaraan kes secara profesional dan terpelihara serta adil kepada semua pihak terlibat.

Namun, apakah pendedahan Latheefa ini telah dan sedang menjadi suatu kesalahan jenayah, etika mahupun boleh dirujuk sebagai kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh penjawat awam khususnya dalam menyimpan, memproses dan mendakwa seseorang tertuduh yang belum didapati bersalah oleh mana-mana Mahkamah dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

Pengakuan Tun Dr. Mahathir yang dilihat mempertahankan tindakan pendedahan terbuka KP SPRM terhadap perbualan mantan Perdana Menteri dengan proksi beliau.

Tun Dr. Mahatir melihat pendedahan yang dibuat Latheefa tidak ada bezanya dengan pendedahan rampasan berbilion aset dan barangan daripada kediaman mantan Perdana Menteri ke 6.

Namun para pembela dan segelintir pengamal undang-undang melihat KP SPRM tidak memiliki integriti, amanah dan profesional dalam menyimpan maklumat serta memproses dokumen bersifat sangat sulit daripada pemberi maklumat mahupun pengadu.

Peguam pembela mantan Perdana Menteri pula melihat pendedahan SPRM menggugat imej, reputasi dan identiti anak guamnya.

Disebalik kemelut dan isu yang melanda KP SPRM dan juga mantan Perdana Menteri, pelbagai agensi berada pada kedudukan serba salah untuk bertindak mengikut akta dan perundangan negara mahupun mengikut arahan Perdana Menteri, agensi berwajib hatta Peguam Negara.

Manifesto PH adalah untuk membongkar sebarang ketirisan, penyelewengan, amalan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana individu dalam negara ini.

Arahan merampas, mendedahkan dan merungkai segala kes jenayah untuk tatapan umum menjadi naluri dan norma kepimpinan Kerajaan PH dan para ketua jabatan yang dilantik Perdana Menteri sedia ada.

Rakyat dan pengundi akar umbi telah dikelirukan, ditipu hidup-hidup oleh sistem kepimpinan kerajaan terdahulu dan ketua jabatan ketika kerajaan Barisan Nasional(BN) menjadi pemerintah selama 61 tahun lalu.

Kepimpinan kerajaan terdahulu melantik Ketua Jabatan dan Proksi mereka untuk mempertahankan segala perjalanan kelulusan dan prosidur kewangan Negara serta pembelian aset di luar negara dan penjualan aset kepada pelabur luar di negara ini.

Namun kepimpinan Kerajaan PH yang memenangi PRU-14 pula, telah tampil mengugur, memecat, menamatkan kontrak proksi lantikan BN untuk menyiasat, membongkar, mendedah, mengheret, mendakwa serta menghumban para pelaku jenayah dalam kalangan bekas pemimpin mahupun mana-mana individu yang didapati terpalit dengan amalan rasuah, mahupun salah guna kuasa.

Pendedahan media, ulasan yang diberikan terhadap laporan yang bercampur baur antara kebenaran dan salah laku serta ulasan ketua jabatan agensi berwajib merujuk perlakuan pendedahan perbualan mantan Perdana Menteri bersama proksi telah mengelirukan rakyat dan pengundi akar umbi.

Senario demikian kadangkala memberikan ruang dan peluang kepada perasaan empati kepada tertuduh, justeru dalam keadaan tertentu akan menyebab ketua jabatan seperti KP SPRM yang mendedahkan maklumat sulit dilihat sebagai tidak layak menjadi ketua jabatan dan wajar dipecat serta-merta, kerana gagal memainkan peranan secara profesional, keadaan bertambah buruk apabila kajian dijalankan secara online berkaitan pandangan dan pendapat orang ramai terhadap amalan integriti ketua jabatan SPRM itu.

Keputusan dan pandangan majoriti rakyat akar umbi adalah KP SPRM tidak wajar dedahkan maklumat sulit dan beliau wajar dipecat.

Pihak Agensi berwajib seperti PDRM pula terpaksa menjalankan siasatan dan memanggil Latheefa untuk merakam percakapan beliau dan merujuk hasil dapatan dan siasatan kepada Pejabat Peguam Negara mahupun Pendakwa Raya.

Di samping itu, kebanyakan ketua jabatan kepimpinan Kerajaan PH termasuk KP SPRM, PDRM, Peguam Negara dan Perdana Menteri, dilihat kononnya hanya memberikan tumpuan, fokus serta mendakwa bekas pemimpin dan proksi kerajaan terdahulu iaitu BN manakala segala aduan dan laporan serta tangkapan terhadap pemimpin dan proksi PH tidak diambil tindakan setara dan seserius pendakwaan kepada tertuduh dalam kalangan proksi BN.

Perkembangan ini menyebabkan pelbagai pihak termasuk golongan profesional, rakyat akar umbi dan masyarakat sivil keliru dan bercelaru serta mengutamakan perasaan emosi daripada perhitungan akal dan keutuhan perlembagaan serta perundangan negara.

Sebagai Masyarakat sivil, telah tiba masanya rakyat akar umbi di negara ini, celik undang-undang dan menguasai kewujudan Akta 711 dan juga Akta 696 serta Whistle Blower Protection Act 2009/2010 yang diluluskan Parlimen untuk memberikan perlindungan kepada pengadu dan pemberikan maklumat agar kedudukan dan keselamatan mereka tidak terancam mahupun digugat oleh pihak yang miliki kuasa terhadap diri mereka.

Sejarah negara membuktikan ramai pemberi maklumat, pengadu dan pembela diancam, diugut, ditamatkan kontrak, dipecat, disenaraihitamkan dan ada juga yang hilang daripada bumi Malaysia serta dibunuh dengan kejam disebabkan menjadi pengadu serta nekad mendedahkan maklumat sulit para pelaku yang miliki kuasa paling tinggi di negara ini.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

3 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

5 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

5 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

5 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

5 months ago