Derita seumur hidup dilanggar pemandu mabuk

Derita seumur hidup dilanggar pemandu mabuk

Harap ada yang tampil membantu Encik Karupayah ni kerana orang Malaysia dan Melaka memang pemurah dan dermawan

AYER KEROH 12 Julai – “Walaupun dah tua, dulu saya mampu kerja sampai tengah malam namun sejak cacat begini saya hanya berehat di rumah,” luah seorang warga emas yang parah akibat kemalangan menimpa dirinya di Durian Tunggal tiga tahun lalu.

Karupayah Periasami, 60, merupakan antara mangsa yang cedera parah termasuk isteri dan dua anaknya pada insiden berlaku itu akibat dilanggar pemandu mabuk di Bukit Tambun, beberapa tahun lalu.

Menurutnya, akibat kemalangan dia terpaksa meniti kehidupannya dengan bergantung bantuan tongkat 4 kaki yang menjadi penemannya sejak sembuh daripada kemalangan itu.

“Saya dikejarkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan kerana mengalami kecederaan lutut yang parah selain peha dan bahagian belakang badan yang cedera.

“Akibat kemalangan berkenaan kaki saya dimasukkan besi dan menanggung perkara itu selama dua tahun namun akibat tidak tahan dengan kesakitan pada kaki, saya terpaksa mengarahkan doktor mencabut besi berkenaan walaupun belum sampai tempoh yang ditetapkan.

“Terseksa, memang sakit sepanjang dua tahun itu, nak tidur lagilah sakit dan rasa tak selesa apabila waktu malam,”katanya ketika ditemui MelakaKini pada Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, pagi tadi.

Menurut Karupayah yang menetap di Taman Merdeka hampir 20 tahun lalu, kini terpaksa menanggung kecacatan akibat tindakan itu malah ketinggian kaki kanannya kini menjadi pendek dan terpaksa menggunakan kasut bertumit tinggi di bahagian kanan setiap hari.

“Saya rasa memang tak sesuai duduk di rumah, jadi saya perlu cari pekerjaan bagi menjana semula kewangan keluarga yang kini telah menghabiskan perbelanjaan hampir RM30,000 sepanjang tempoh ini.

“Jadi, berhubung perkara ini mujur Ketua Menteri, Adly Zahari mengadakan Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara dan saya ambil kesempatan ini untuk meluahkan permasalahan saya agar dapat dibantu.

“Saya memang memerlukan bantuan motosikal beroda tiga dan dengan bantuan ini ianya dapat memenuhi perancangan saya bagi berniaga di atas motosikal sahaja dengan menjaja makanan seperti roti dan sebagainya,”katanya.

Sementara itu, isterinya, K. Ponnamana berkata, suaminya yang hanya menetap di rumah, memerlukan pekerjaan sesuai dengan keadaannya itu.

Dia berharap agar pekerjaan seperti menjaja itu mampu mengurangkan bebanan keluarga malah dapat memenuhi masa terluang suami yang bersemangat mahu bekerja walaupun keadaannya tidak mengizinkan.

Terdahulu, apabila ditanya berhubung kemalangan itu, dia seolah trauma dan bermenung walaupun insiden itu sudah bertahun lalu.

“Pemandu mabuk itu mati di tempat kejadian dan kereta saya musnah sepenuhnya (total lost), malah keadaan saya ketika itu cedera parah akibat hentakan kuat dikepala malah mengalami kerosakan pada rusuk kanan selain tangan kiri yang patah,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS