Derita Azrin sekolahkan anak dapat pembelaan

Derita Azrin sekolahkan anak dapat pembelaan

BUKIT PIATU 2 Jan. – Derita ditanggung Azrin Mohamad, 42, yang menghidap kencing manis telah membuatkan pekerjaannya untuk menyara keluarga terbatas.

Katanya, jari kaki kanannya yang dipotong mengakibatkan dia terpaksa bekerja tidak menentu sebagai seorang pemandu van.

Menurutnya, dia akan menantikan gaji hari itu kadang kala tidak bergaji sekiranya tiada pekerjaan diberi kepadanya.

Ujarnya, nasibnya membuatkan isterinya terpaksa turut bekerja di sebuah kedai telefon bimbit demi menyara keluarga.

Menurut Azrin, musim persekolahan bermula hari ini membuatkan dia terpaksa membatalkan hasrat sekiranya tiada bantuan diberikan kepada seorang anak tunggalnya.

Jelasnya, hasrat menyekolahkan anak ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terpaksa dihentikan kerana tidak cukup wang membeli pakaian dan membayar yuran anaknya.

“Pakaian untuk ke sekolah rendah telah dibeli isteri, cuma kami tak cukup wang nak hantar anak ke sekolah agama.

“Alhamdulillah dengan bantuan diberikan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee secara terus ini mampu memberi motivasi dan galakan kepada anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Gedung Pasar Raya Keluargaku dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Norhizam berkata, masih banyak lagi jenis bantuan akan diberikan kepada keluarga kurang mampu di kawasannya.

Jelasnya, ia adalah tanggungjawab dan amanah diberikan bagi membela nasib sesetengah masyarakat di kawasan itu.

“Pihak kami memberikan bantuan ini bagi mengurangkan bebanan keluarga dan sebelum ini, seramai 205 penerima telah menerima bantuan RM90 bagi mengurangkan perbelanjaan ditanggung keluarga.

“Jika ada pihak yang terlepas pandang, jadi saya akan tampil ke depan menyelesaikan permasalahan rakyat ini,” katanya.

Program dijalankan di kawasan itu menelan belanja RM18,450 diperuntukkan bagi meringankan perbelanjaan keluarga kurang mampu pada sesi persekolahan 2019.

CATEGORIES
TAGS