Categories: NASIONALRENCANA

Dato’ Onn tinggalkan UMNO

Oleh Ishak Mohamed Salleh
Pengarang MelakaKini

SETELAH Persidangan Agong UMNO yang diadakan pada 15 dan 26 Mac 1951 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur berlangsung, suasana politik Tanah Melayu menjadi begitu hangat kerana satu usul Dato’ Onn yang hendak membuka pintu UMNO kepada bangsa-bangsa asing untuk menjadi ahlinya.

Usul Dato’ Onn itu tidak sempat dikemukakannya dalam mesyuarat Agong UMNO kerana berita-berita yang tersiar dalam akhbar-akhbar telah menunjukkan tentangan dari banyak Bahagian UMNO sendiri.

Dato’ Onn yang telah dapat menduga apakah yang akan berlaku telah mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dan membentuk satu parti politik baru yang dinamakan Parti Kemerdekaan Malaya atau Independent Of Malaya Parti (IMP) di mana ahli-ahlinya terbuka kepada semua kaum di Malaya.

Keputusan Dato’ Onn untuk meninggalkan UMNO ini telah menjadikan orang-orang Melayu kebingungan dan tidak tahu apa yang akan dibuatnya. Namun begitu beberapa Bahagian UMNO telah membuat keputusan untuk mencari pengganti Dato’ Onn menjadi Yang Dipertua UMNO.

BENTUK PARTI BAHARU

Dalam Persidangan Agong UMNO pada 25 dan 26 Ogos 1951 itu, Dato’ Onn telah tidak mahu lagi dipilih menjadi Yang Dipertua dan sebaliknya mengisytiharkan akan membentuk sebuah parti baharu.

Raja Ayub Raja Bot salah seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi UMNO telah mencadangkan Ahmad Fuad Hassan menjadi Yang Dipertua manakala wakil dari Perak pula mencadangkan C.M.Yusof.

Menurut Tan Sri Samad Idris, ‘..saya masih ingat lagi Raja Ayub dalam kata-kata sokongannya kepada Ahmad Fuad berkata, Ahmad Fuad adalah seorang Haji yang telah pergi dan lama duduk di Mekah dan tentulah beliau seorang yang jujur dan alim, inilah salah satu sifat yang dikehendaki untuk menjadi Yang Dipertua UMNO..”.

Nama Tuanku telah dicadangkan oleh Bahaman Shamsuddin, wakil dari Seremban, yang telah berucap pendek, ‘..saya tak tahu banyak berkenaan dengan Tuanku, tetapi dia ialah kawan saya yang baik dan saya percaya dia boleh’.

Bahaman tidak seperti lain-lain wakil yang mengenalkan Ahmad Fuad dan C.M.Yusof yang telah bercakap panjang mengenai pelajaran dan kebolehan calon masing-masing. Setelah diundi, akhirnya Tunku mendapat 57 suara, C.M. Yusof 11 suara dan Ahmad Fuad 7 suara.

Ketika Pengerusi persidangan menjemput Yang Teramat Mulia Tunku mengambil tempat duduk di meja Jawatankuasa Tertinggi UMNO. Ketika itu, Dato’ Onn dan Ahli Jawatankuasa yang lain telah berdiri mengalu-alukan Tunku.

Setelah Dato’ Onn mengucapkan tahniah kepada Abdul Razak Hussain (Tun) yang baru dilantik dengan tidak ada pertandingan menjadi Timbalan Yang Dipertua UMNO, juga kepada C.M. Yusof, Saadon Subir dan Zain Sulaiman sebagai Naib-Naib Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn berkata,

ISTANA Besar JOHOR

“UMNO lahir di Istana Johor dan saya serahkan pimpinan UMNO ini kepada seorang yang berasal dari istana,”.

Selain daripada itu, dalam ucapan selamat tinggal kepada UMNO, Dato’ Onn telah merayu supaya orang ramai menyokongnya dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan negara ini, Malaya.

Seterusnya, Dato’ Onn berkata, “kita patutlah insaf bahawa negara kita ini ada orang-orang bukan Melayu yang setia kasih kepadanya sebagai orang-orang Melayu juga. Kita janganlah mudah percaya dengan buta tuli bahawa kemerdekaan negara ini boleh dicapai oleh satu kaum atau satu puak sahaja dari penduduk negara ini”.

Dato’ Onn menamatkan ucapannya itu dengan berkata, “saya percaya dengan gerak langkah yang saya tujukan ini, UMNO dan Parti Kemerdekaan Malaya akan bertemu setelah kita mencapai kemerdekaan kelak.

Setelah itu, Tunku pula berucap, “ saya tidak lebih dari seorang manusia biasa yang dilahirkan dengan kemahuan Tuhan, hina dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Saya juga sedar bahawa saya sekarang telah diberi tugas menggantikan seorang pemimpin Melayu yang namanya bukan sahaja terkenal di Malaya tetapi masyur sampai keluar negara.

Dalam sejarah negara ini, orang-orang Melayu seluruhnya tidak pernah bersatu padu sebagai yang ada pada hari ini dan ini hanya berlaku setelah UMNO terdiri dengan anjuran dan pimpinan Dato’ Onn.

UMNO DI BAWAH TUNKU

Menurut Tan Sri Samad Idris dalam catatannya sempena Perayaan Jubli Perak UMNO pada tahun 1971, beliau memberitahu, Tunku Abdul Rahman dalam ucapan sulungnya pada Persidangan Agong UMNO 1951 berkata, “ini ialah negeri Melayu, keutamaan-keutamaannya mestilah diberikan kepada orang-orang Melayu”.

“Siam, Ceylon, Indonesia dan Filipina telah mencapai kemerdekaan masing-masing dan lepas dari cengkaman penjajahan. Mengapa kita sebagai satu bangsa tidak boleh merdeka. Ada orang yang menyatakan bahawa kemerdekaan haruslah diserahkan kepada orang Malayan. Tetapi siapakah orang-orang Malayan ini?. Orang-orang Melayulah yang akan menentukan siapa orang-orang Malayan ini kelak,” kata Tunku lagi.

Kemerdekaan negara mestilah diserahkan kembali ke tangan kita dalam tempoh yang sesingkatnya. Raja-raja Melayu patutlah merenungkan jauh-jauh apa yang akan jadi sekiranya negara ini terserah kepada orang-orang ‘Malayan’.

“Baki umur saya ini akan saya serahkan semuanya kepada bangsa dan negara. Hidup dan mati saya adalah juga kerana bangsa dan negara,” tegas Tunku.

Ucapan Tunku yang pertama sebagai Yang Dipertua UMNO ini telah mendapat sambutan yang hangat dari sidang perwakilan. Esoknya akhbar-akhbar telah menyiarkan secara besar-besaran sebagai ‘Poster News’.

Setelah Dato’ Onn meninggalkan UMNO, maka beliau dengan rakan-rakannya yang lain telah membentuk sebuah parti baru yang bernama Independence Of Malaya Party (IMP) dan ahli-ahlinya terbuka kepada semua bangsa di Malaya.

Pada awal tertubuhnya parti IMP ini, yang mana telah dilancar dan diumumkan oleh Tun Tan Cheng Lock pada 16 September 1951, sebahagian besar pemimpin-pemimpin dan Menteri-Menteri Besar telah menjadi penyokong kuat parti tersebut.

Kedudukan UMNO yang dipimpin oleh Tunku goncang pada ketika itu. Keadaan ini timbul disebabkan orang-orang Melayu pada keseluruhannya masih sayang dan memberikan kepercayaan kepada Dato’ Onn, lebih-lebih lagi sebahagian Menteri-Menteri Besar adalah penyokong kuat parti baru itu.

Beberapa bulan selepas Parti IMP dibentuk, perbualan politik telah menjadi satu soal utama, malah boleh dikatakan orang-orang Melayu ketika itu berada di persimpangan jalan, sama ada hendak keluar dari UMNO mengikut Dato’ Onn menjadi ahli IMP atau tetap dalam UMNO di bawah pimpinan Tunku.

KEPERIBADIAN TUNKU

Disebabkan Tunku sebagai seorang baru dalam arena politik, perhatian orang-orang Melayu tetap juga tertumpu kepada keperibadian beliau dan kesanggupannya untuk memimpin UMNO.

Sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat negeri ketika itu masih mendiamkan diri, seolah-olah melihat kemanakan kuatnya tiupan angin dan ke mana pula mereka akan sampai.

Dalam keadaan yang begitu meruncing, tiba-tiba meletus satu berita bahawa UMNO dan MCA akan menubuhkan satu perikatan dan bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur.

Pilihan raya ini telah berlaku dalam bulan Februari 1952. Hasil daripada keputusan pilihan raya itu telah banyak mempengaruhi pemikiran orang-orang Melayu dan Cina. Keputusan yang diumumkan itu menunjukkan perikatan UMNO dan MCA telah memenangi sembilan dari 12 kerusi yang dipertandingkan.

Sejak itu, cahaya UMNO yang telah pudar selama enam bulan bersinar kembali. Sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO yang dahulunya berpeluk tubuh telah terang-terang kembali aktif dalam UMNO. Lebih-lebih lagi setelah melihat pengorbanan yang diberikan oleh Tunku dengan tidak mengira tempat dan waktu, malah telah rela pula mengorbankan hartanya kerana UMNO.

Tunku telah menjelajah seluruh tanah air untuk menerangkan dasar-dasar perjuangan UMNO yang baru di bawah pimpinannya. Di samping itu juga beliau telah menjelaskan tujuan perjuangan UMNO mendapatkan kemerdekaan.

Kekuatan Tunku ini bertambah lagi dengan pembantu kanannya, Tun Abdul Razak sebagai timbalan Ketua UMNO dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman menjadi ahli UMNO yang dahulunya bertentangan pendapat dengan Dato’ Onn, kembali aktif dalam UMNO.

Admin MelakaKini

Leave a Comment
Share
Published by
Admin MelakaKini

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago