Dari Malaya ke Malaysia

Dari Malaya ke Malaysia

Generasi muda perlu memahami asal usul Malaysia

TANGGAL 16 September 1963 adalah hari bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia kerana pada tarikh itulah Malaysia ditubuhkan dan wujud sebagai sebuah negara yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Mengimbau kembali rentetan sejarah penubuhan Malaysia, ia dicetuskan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika menyampaikan ucapannya di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

Dalam ucapannya, Tunku menyatakan bahawa perlu diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah), Brunei dan Sarawak bergabung ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Namun, ia bukanlah suatu perkara mudah untuk dilaksanakan kerana ia tidak hanya soal menggabungkan beberapa negeri atau wilayah yang terpisah dari segi geografi ke dalam satu unit pentadbiran dan mempunyai persamaan cita-cita serta aspirasi.

Malah, ia turut melibatkan penyatuan negeri dan wilayah yang masing-masing sebelum ini mempunyai pemerintah dengan idealisme dan kepentingan kebangsaan yang tersendiri.

MENGAPA MALAYSIA WUJUD?

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Malaysia dibentuk.

Antaranya ialah untuk menyekat ideologi dan pengaruh komunisme yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau, mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak serta mengimbangi aspek kependudukan dan meningkatkan kemajuan ekonomi wilayah-wilayah yang terlibat.

Tunku dalam ucapannya di persidangan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 itu turut menegaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh menangani usaha membendung komunisme di rantau ini dengan sendiri tanpa adanya pembentukan kerjasama politik dengan Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Bertitik tolak daripada ucapan Tunku di Singapura pada 27 Mei 1961 itu telah membuka laluan penting kepada pembentukan Malaysia dengan pengenalan konsep Persekutuan Raya atau Malaysia Raya.
Melalui konsep Persekutuan Raya atau Malaysia Raya ini, semua negeri dalam persekutuan ini akan mempunyai taraf yang sama dengan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan sebagaimana yang dipersetujui oleh negeri-negeri itu sendiri.

Cadangan gagasan menubuhkan Malaysia oleh Tunku telah mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin dan rakyat Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Semenanjung dengan ada diantaranya yang menyokong manakala sebahagian pula menentang.

Ini termasuklah pemimpin UNKO, Pasok Momogun, SUPP dan Parti Rakyat Brunei bergabung membentuk United Front pada Julai 1961 untuk menentang Gagasan Malaysia kerana kebimbangan dan ketidakfahaman mereka mengenai konsep penubuhan Malaysia.

Mereka beranggapan sekiranya mereka menyertai Malaysia, mereka akan dijajah oleh Persekutuan Tanah Melayu dengan kuasa politik serta jawatan pentadbiran akan didominasi oleh pegawai dari Persekutuan dan Singapura.

Gagasan penubuhan Malaysia turut ditentang oleh Gabenor-Gabenor British di Borneo Utara dan Sarawak kerana mereka merasakan masih belum bersedia dari segi politik berbanding Persekutan Tanah Melayu dan Singapura yang dilihat lebih jauh ke hadapan dari pelbagai aspek.

Malah di Singapura juga terdapat pihak yang menentang khasnya dari golongan anti-PAP biarpun cadangan penubuhan Malaysia mendapat sokongan di sana.

Berikutan itu, kerajaan British yang menyokong gagasan Malaysia telah menghantar beberapa wakil untuk mengadakan perbincangan berasingan dengan Tunku bersama Gabenor Borneo Utara dan Gabenor Sarawak serta Pesuruhjaya Tinggi Brunei diikuti pertemuan antara Tunku dengan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Britain, Sir Harold MacMillan.

Hasil pertemuan itu, telah diadakan Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 yang membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia atau Malaysian Solidarity Consultative Committee (MSCC) yang juga dikenali sebagai Jawatankuasa Setiakawan Malaysia yang dianggotai perwakilan daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei.

Jawatankuasa ini telah mengadakan persidangan pada 24 Ogos 1961 di Jesselton untuk memberi penjelasan mengenai gagasan Malaysia kepada pemimpin dan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak diikuti mesyuarat Jawatankuasa di Kuching pada 18 Disember 1961.

Dalam mesyuarat itu, satu memorandum khas mengandungi syarat-syarat terperinci mengenai penyertaan Borneo Utara dan Sarawak ke dalam Malaysia seperti perkara berkaitan agama, bahasa, imigresen dan kedudukan pribumi telah disediakan oleh MSCC.

PENUBUHAN SURUHANJAYA COBBOLD

Rentetan persidangan dan wujudnya memorandum khas itu, satu suruhanjaya bebas dan berkecuali dibentuk pada Januari 1962.

Suruhanjaya dikenali Suruhanjaya Cobbold itu dianggotai lima ahli jawatankuasa yang dipengerusikan Lord Cobbold dan dua wakil Kerajaan British serta dua lagi dilantik oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Datuk Wong Pow Nee dan Muhammad Ghazali Shafie.

Suruhanjaya itu memainkan peranan sangat penting dalam rentetan penubuhan Malaysia dengan melakukan 35 lawatan di Borneo Utara dan Sarawak termasuk di kawasan pedalaman dan mengadakan 50 perjumpaan membabitkan 4,000 penduduk untuk tempoh kira-kira dua bulan bermula 19 Februari hingga 18 April 1962.

Suruhanjaya berkenaan turut menerima 2,200 keping surat dan memorandum daripada pelbagai pihak termasuk persatuan, parti politik, pertubuhan agama, ketua-ketua kaum dan lain-lain dari kedua-dua negeri yang dilawati.

Akhirnya pada 21 Jun 1962, Penyata Cobbold diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan naskhah terjemahan dibuat dalam bahasa Melayu dan Cina serta diumumkan pada 1 Ogos 1962.

Perkara penting yang dipersetujui dalam penyata tersebut ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia dan nama Malaysia dijadikan nama persekutuan yang baharu.

Berikutan itu, penubuhan Malaysia akhirnya ditetapkan pada 31 Ogos 1963 dengan syarat segala perkara berkaitan perlembagaan diselesaikan.

Bagi memastikan perkara berkaitan perlembagaan yang akan dapat memelihara kepentingan kedua-dua negeri dalam Persekutuan, sebuah jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Lansdowne Committee (IGC) ditubuhkan pada Ogos 1962.

Jawatankuasa itu berjaya menghasilkan draf “20 Perkara” yang menyentuh kepentingan Borneo Utara dalam Malaysia dan “18 Perkara” untuk Sarawak yang akhirnya menjadi pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak penduduk di kedua-dua negeri tersebut dalam Malaysia.

Kejayaan merealisasikan penubuhan Malaysia terus menerima cabaran getir dan halangan apabila beberapa negara jiran mula melakukan pelbagai cara untuk mengagalkannya.

Ini termasuklah Filipina yang mengumumkan tuntutan secara rasmi terhadap Borneo Utara pada 22 Jun 1962 manakala komunis di seluruh Asia Tenggara mengutuk gagasan Malaysia dan cuba menghalang penubuhan Malaysia.

Selain itu, pemberontakan di Brunei pada 8 Disember 1962 yang diketuai A.M. Azahari yang juga pemimpin Parti Rakyat Brunei bersama Tentera Nasional Kalimantan Utara turut berlaku dan ia menjadi antara salah satu penyebab mengapa Sultan Brunei menolak kemasukan Brunei ke dalam Malaysia.

Indonesia turut melakukan konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan melancarkan kempen Ganyang Malaysia kerana membantah penubuhan Malaysia yang dianggap mencabar hasrat dan impian Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya atau Melayu Raya.

Biarpun berdepan cabaran dan halangan, namun akhirnya pada 8 Julai 1963, Perjanjian Malaysia ditandatangani antara Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak sekali gus mengakhiri kedaulatan pemerintahan Britain ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.

Persetujuan Manila atau Manila Accord yang ditandatangani pada 31 Julai 1963 di Filipina turut menyelesaikan pertelingkahan berkaitan Malaysia apabila Filipina dan Indonesia menyatakan persetujuan menyokong gagasan Malaysia jika mendapat sokongan daripada penduduk di kedua-dua negeri tersebut dan disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, keputusan PBB dalam mempersiapkan laporan pengesahan yang seharusnya lengkap pada 31 Ogos 1963 tidak dapat dilaksanakan berikutan kelewatan penyertaan wakil-wakil dari Indonesia dan Filipina dan akhirnya keputusan PBB mengesahkan majoriti penduduk di Borneo menerima kemasukan ke dalam Malaysia.

Akhirnya pada 16 September 1963, dalam satu upacara gilang gemilang dan penuh warna warni di Stadium Merdeka, Malaysia dirasmikan dan Borneo Utara sekali gus dikenali sebagai negeri Sabah.

Pada hari sama juga, turut diadakan pengisytiharan Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Pada 16 September 2010, kerajaan mengisytiharkan bahawa 16 September adalah hari cuti am untuk seluruh negeri di Malaysia.

 

Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES