Dalamkan parit, pantau pembinaan atasi banjir kilat

Dalamkan parit, pantau pembinaan atasi banjir kilat

Permasalahan akan diselesaikan segera

BUKIT BERUANG 2 Dis.- Penduduk Taman Kerjasama di sini mendakwa projek-projek pembangunan dalam kawasan perumahan mereka antara punca banjir kilat yang berlaku lewat petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata kemungkinan dakwaan penduduk benar dan pihaknya akan memantau pembinaan yang berlaku di sekitar taman perumahan di Bukit Beruang itu.

Katanya, punca dan sebab lain masih dalam siasatan dan kajian turut dilakukan pihak Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di bawah DUN Ayer Keroh bagi mengenalpasti punca kejadian banjir kilat yang berlaku selama kira-kira 3 jam semalam.

“Hari ini kesemua MPKK di bawah DUN Ayer Keroh akan mengedarkan borang bencana alam kepada penduduk yang terjejas dan hampir 1,000 penduduk melibatkan lebih 270 buah rumah dinaiki air akibat banjir kilat petang semalam.

“Saya akan berbincang dengan pihak Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan jabatan yang bertanggungjawab bagi mengatasi masalah ini supaya tidak terjadi lagi insiden seperti ini dimasa akan datang,” katanya ketika ditemui ketika meninjau lokasi punca banjir kilat di Taman Kerjasama, di sini, hari ini.

Katanya, proses mendalamkan longkang dan parit akan dijalankan di kawasan yang dikenalpasti bagi mengelakkan berlaku longkang tersumbat dan parit cetek ekoran hujan lebat yang membawa arus tanah dari kawasan pembangunan.

CATEGORIES
TAGS