Chee Yee positif lantikan ketua belia, mampu kukuhkan perpaduan

Chee Yee positif lantikan ketua belia, mampu kukuhkan perpaduan

Antara platform yang mampu perkukuhkan perpaduan...

AYER KEROH 18 Sept. – Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee menyambut baik cadangan melantik ketua belia di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau dalam masa sama menyifatkannya sebagai medium terbaik golongan itu mengukuhkan perpaduan dalam komuniti serta mengukuhkan perpaduan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan tidak terlalu bergantung harap kepada aktiviti belia dirancang Jabatan Belia Sukan (JBS), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM).

Katanya, cadangan itu yang diilhamkan Ketua Menteri, Adly Zahari turut menambah RM5,000 tambahan peruntukkan kepada jawatankuasa belia untuk melaksanakan aktiviti dirancang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), merupakan pelan terbaik mempelbagaikan aktiviti belia bersama komuniti.

“Ia akan memberi impak kepada komuniti untuk bersama mengukuhkan perpaduan bersama Japerun di kawasan masing-masing menerusi penglibatan belia.

“Fokusnya di sini adalah belia dapat membuat aktiviti yang bersifat komuniti dan masyarakat setempat mampu membina jaringan dua hala bersama Japerun.

“Tambahan dana juga diberikan supaya segala aktiviti dijalankan dapat mewujudkan kepelbagaian sesuai dengan Melaka yang digelar negeri belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Menara Persekutuan selepas mesyuarat post-exco portfolionya di sini sebentar tadi.

Berhubung isu itu, Adly tempoh hari memaklumkan, kesemua lantikan yang dibuat terikat kepada had umur yang diputuskan di peringkat persekutuan iaitu 18 tahun hingga 30 tahun.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS