Casagrande mengganas di MU

Casagrande mengganas di MU

PENGEMPUR sensasi Melaka United (MU), Anselmo Arruda ‘Casagrande’ da Silva nyaris merekodkan jaringan hatrik bagi aksi pertamanya bersama Sang Kancil ketika bertemu Warrios FC bagi aksi ketiga pra musim di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Walaupun masih lagi diuji, bekas ayam tambatan Felcra FC itu tidak menunggu lama membolosi gawang lawan seawal minit ke-15 hasil bantuan sepakan penjuru Safiq Rahim.

Casagrande sekali lagi menambah derita Warriors pada minit ke-34 sebelum digantikan Nurshamil Abd. Ghani pada separuh masa kedua, selepas Deevan Raj menambah derita pasukan negara jiran itu pada minit ke-27.

Dalam pada itu, Luka Milunovic yang dikritik Pengurus Pasukannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi akibat aksi longgar ketika menentang Negeri Sembilan tempoh hari tampak menemui sentuhan dengan kehadiran Casagrande dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-39.

Nurshamil yang masuk diggantikan Casagrande turut menyumbangkan jaringan sagu hati pada minit ke-53.

Warrios yang diuji hebat ketika bertemu  MU tidak berputus asa mengasak anak buah Shukor Adan dan berjaya membawa bekalan satu  jaringan ketika perlawanan masih berbaki kira-kira tujuh minit hasil sentuhan, Sahil Suhaimi pada minit ke-83.

Mohd Yusoff ketika ditemui memuji aksi anak buahnya yang menampilkan aksi bertenaga terutamanya Casagrande yang tidak menunggu lama menambah jaringan peribadi.

“Reputasi dia sebagai pengempur menyakinkan saya, apatah lagi dia tidak menunggu lama menjaringkan gol, tidak seperti pemain import yang lain.

“Yang perlu menunggu beberapa perlawanan untuk menyesuaikan diri,”katanya.

Bagi Ketua Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan pula, beliau puas hati dengan permainan cantik pemainnya kali ini selepas beberapa teguran diberi sejak dua aksi pra musim yang lalu ketika melayani kunjungan Selangor United dan Negeri Sembilan.

“Mutunya saya dah nampak dan itu tidak boleh dinafikan, namun masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

CATEGORIES
TAGS