Cadangan proses kemasukan pekerja asing diserah kepada KSM diteliti – Muhyiddin

Cadangan proses kemasukan pekerja asing diserah kepada KSM diteliti – Muhyiddin

Memerlukan penelitian mendalam

PUTRAJAYA, 2 Dis. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar proses kemasukan pekerja asing yang dikendalikan kementerian itu ketika ini diambil alih oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), kata Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, cadangan itu memerlukan penelitian mendalam kerana proses pengambilan pekerja asing antaranya turut melibatkan aspek kemasukan orang luar ke Malaysia yang di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen.

“Apa yang perlu kita tahu, setiap mereka yang datang ke negara ini sama ada bekerja atau melancong perlu melalui pintu masuk Malaysia terlebih dahulu dan prosesnya tertakluk kepada dasar dan undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Imigresen.

“Mereka yang masuk, hanya akan tertakluk kepada undang-undang dan akta berkaitan pekerjaan di bawah KSM selepas mendapat permit kerja dan mula bekerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen 2019 di sini, hari ini. Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Muhyiddin berkata, KDN melalui Jabatan Imigresen juga masih mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pekerja jika melanggar undang-undang di bawah jabatan itu seperti pas bekerja tamat tempoh atau bekerja melampaui tempoh masa ditetapkan dalam permit kerja.

“Jadi KDN memerlukan sedikit masa bagi meneliti dan mengambil kira pelbagai aspek sama ada wajar atau tidak cadangan SPRM itu diterima,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada Rabu lepas dilaporkan mencadangkan agar proses kemasukan pekerja asing yang dikendalikan KDN dikembalikan kepada KSM bagi penambahbaikan sistem dalam pengambilan pekerja kerana KSM lebih tahu berapa banyak pekerjaan sedia ada untuk pekerja asing.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya mahu mana-mana pihak yang melindungi dan menggaji pendatang asing dikenakan tindakan tegas dan undang-undang dikuatkuasakan tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Beliau turut memaklumkan usaha Jabatan Imigresen menangani isu kebanjiran pendatang asing apabila berjaya menahan 47,142 pendatang asing dari pelbagai negara sehingga 30 Nov lepas daripada 16,011 operasi yang dijalankan serta melibatkan pemeriksaan 184,556 warga asing.

Sejumlah 1,180 majikan juga ditahan dan daripada jumlah itu, 892 telah didakwa di mahkamah, katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Sistem Lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Atas Talian (ePLKS@JIM) yang membolehkan majikan membuat perlanjutan PLKS pekerja asing mereka secara dalam talian tanpa perlu berurusan di kaunter Imigresen.

Sistem yang berkuatkuasa 1 Jan ini mampu mempercepatkan urusan perlanjutan PLKS tanpa perlu melalui perantara atau vendor yang memberi perkhidmatan sedia ada, katanya.- BERNAMA

CATEGORIES