Bumi Melaka saksi peristiwa paling bersejarah menjelang merdeka

Bumi Melaka saksi peristiwa paling bersejarah menjelang merdeka

Melaka...di mana segalanya bermula

SEJARAH kemerdekaan Tanah Melayu bermula selepas termeterainya Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditandangani Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London bagi mewakilkan pihak kerajaan Tanah Melayu dengan Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British bagi pihak kerajaan British.

Delegasi yang dikenali sebagai Rombongan Merdeka itu turut disertai empat wakil kerajaan memerintah dan empat wakil Raja-Raja Melayu yang berjaya mendapatkan persetujuan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara rasmi pada 31 Ogos 1957 setelah berunding selama tiga minggu.

Selepas berjaya mencapai kejayaan kemerdekaan negara melalui rundingan, Rombongan Merdeka ini kembali ke Tanah Melayu dari London pada 16 Februari 1956 dan tiba di Singapura pada tengah malam 19 Februari 1956.

Tunku Abdul Rahman telah membuat keputusan untuk tidak terus pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya, sebaliknya memutuskan untuk singgah ke Melaka terlebih dahulu bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada keesokan harinya pada 20 Februari 1956, sejarah tercipta di bumi Melaka apabila rombongan Merdeka ini bertolak ke Melaka dan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam dengan menaiki pesawat Malayan Airways dan disambut dengan begitu meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Rombongan Merdeka ini diarak sekumpulan pemuda bermotosikal berserta puluhan kereta mengiringi rombongan Tunku Abdul Rahman dan Tunku singgah berehat seketika di rumah Tan Cheng Lock di Klebang sebelum meneruskan perjalanan ke Padang Banda Hilir (kini Dataran Pahlawan).

Detik penuh bersejarah yang dinanti-nantikan rakyat yang membanjiri Padang Banda Hilir akhirnya tiba apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan menurut perjanjian yang dicapai di London yang memutuskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada tarikh 31 Ogos 1957.

Sebaik menamatkan ucapan, Tunku telah melaungkan “Merdeka” sebanyak tiga kali dan serentak dengan pengumuman tersebut, teriakan dan laungan merdeka bergemuruh di langit Padang Banda Hilir, Melaka dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Dalam ucapan Tunku Abdul Rahman yang disaksikan lebih 100,000 rakyat yang hadir pada hari bersejarah tersebut, beliau menyebut bahawa pemilihan Melaka sebagai lokasi pengumuman tarikh kemerdekaan Tanah Melayu adalah kerana di bumi Melaka yang bertuah inilah telah membolehkan beliau dan Rombongan Merdeka pergi ke London bagi mendapatkan kemerdekaan negara ini.

Ucapan Tunku merujuk kepada satu peristiwa yang berlaku pada 18 April 1954 di Dewan Meng Seng, Jalan Bendahara di mana rakyat telah berkorban apa-apa sahaja yang ada pada mereka pada ketika itu dengan menghulurkan wang dan barang kemas bagi membolehkan Tunku dan rombongannya berlepas ke London demi menjayakan misi mencapai kemerdekaan.

Di samping itu, pemilihan Melaka sebagai tempat pengumuman kemerdekaan adalah sebagai simbolik kepada kebebasan buat Bumi Hang Tuah daripada cengkaman penjajahan lebih dari 400 tahun lamanya.

Selain perisitiwa perhimpunan di Dewan Meng Seng dan pengumuman kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, satu lagi perisitiwa yang bersejarah di Bumi Hang Tuah ini dalam mencapai kemerdekaan ialah penurunan bendera Union Jack pada 30 Ogos 1957 di Padang Banda Hilir, Melaka.

Upacara penurunan bendera yang berlangsung tepat pada pukul 6.30 petang itu dilakukan lebih awal daripada tempoh berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu yang sepatutnya bermula pada tengah malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur sebagai acara kemuncak bagi menurunkan bendera Inggeris iaitu lambang kedaulatan Baginda Queen.

Upacara penurunan bendera Union Jack itu disaksikan Residen Commisioner Inggeris di Melaka, H. G. Hammett bersama ribuan rakyat jelata yang disempurnakan dua anak kapal dari kapal perang H. M. S. Saint Brides Bay.

Bendera Union Jack itu kemudiannya diserahkan kepada Residen Commissioner Inggeris, Hammett dan ia melambangkan berakhirnya penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan tidak lagi menaungi negeri Melaka serta keseluruhan Tanah Melayu.

Bendera Union Jack turut diturunkan pada masa sama di Pekan Alor Gajah (berhadapan Pentas Dataran Keris Alor Gajah sekarang).

Dengan sebab itu, Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta bebas daripada dibelenggu penjajah sehingga ke hari ini.

Justeru, di era globalisasi ini, generasi muda yang bakal menjadi pelapis pada masa akan datang harus memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara daripada tercalar serta mengekalkan negara terus bebas daripada penjajahan.

 

Oleh: MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS