BoingTech labur lebih RM23.77 juta buka kilang baru di Ayer Keroh

BoingTech labur lebih RM23.77 juta buka kilang baru di Ayer Keroh

Peluang pekerjaan baharu...

AYER KEROH, 9 Ogos – Pengeluar komponen frekuensi radio tinggi, BoingTech Malaysia Sdn Bhd, melabur lebih RM23.77 juta bagi pembukaan kilang barunya yang bakal beroperasi September ini di Taman Tasik Utama di sini.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata 80 peratus kepentingan syarikat itu adalah milik pelabur Hong Kong manakala 20 peratus lagi oleh pihak tempatan.

Beliau berkata kilang yang menggunakan teknologi pengesahan frekuensi radio dari Jerman itu dijangka menyediakan 80 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan.

“Kita sangat mengalu-alukan pengoperasian kilang ini di Melaka kerana ia bukan sahaja meningkatkan nilai pelaburan di negeri ini malah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata surat kebenaran untuk syarikat tersebut beroperasi di sini telah diserahkan semalam selepas memperoleh kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.

Mohd Rafiq berkata komponen frekuensi radio tinggi yang dikeluarkan kilang itu akan dieksport ke Amerika Syarikat.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS