Bersihkan pantai dan pulau negeri Melaka setiap bulan

Bersihkan pantai dan pulau negeri Melaka setiap bulan

Cadangan yang baik, semua pihak kena gembeleng tenaga

PADANG KEMUNTING, 27 Sept. – Bagi mengelakkan kepupusan penyu karah yang merupakan khazanah negeri Melaka, kerajaan negeri akan memastikan kerja-kerja pembersihan pantai dan pulau di negeri ini diadakan pada setiap bulan.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, program ‘Reef and Beach Cleanup’ yang kali pertama yang diadakan di Pulau Undan baru-baru ini bakal dijadikan acara bulanan di peringkat negeri Melaka.

Menurutnya, program seperti ini amat penting memandangkan pembuangan plastik, botol air minuman dan pukat hantu yang berleluasa di laut Melaka boleh menjadi antara penyebab kepupusan penyu karah yang kini diletakkan dalam ‘senarai merah’ oleh Kesatuan Antarabangsa Alam Semulajadi (IUCN).

“Melaka ada 12 pulau dan banyak pantai-pantai yang menjadi tempat pendaratan penyu karah. Oleh sebab itu, penting untuk kita lakukan pembersihan pulau dan pantai secara kerap di negeri ini.

“Seperti kita tahu pembuangan plastik boleh mengancam spesies penyu terutama apabila mengingatkan longgokan plastik sebagai sumber makanan mereka.

“Oleh sebab itu, saya bersama-sama Seafarer dan 4 penyelam dari badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan kerjasama untuk memastikan program pembersihan ini diadakan secara berterusan. Mungkin dalam satu bulan kita akan adakan sekali,” katanya yang ditemui ketika merasmikan Galeri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, di sini semalam.

Dalam pada itu, Norhizam turut mengesahkan pihaknya akan terus menggerakkan Renjer-renjer di pesisir pantai Padang Kemunting dan Pengkalan Balak untuk memantau dan mengelakkan telur-telur penyu karah jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tubuhkan renjer ini fungsinya adalah untuk memantau tempat penyu bertelur dan mengambil telur penyu itu ke pusat penetasan di sini. Selepas menetas, penyu-penyu itu akan dilepaskan semula ke laut.

“Jadi, tugas Ranger yang melakukan tugas secara sukarela ini amat penting dalam memastikan penyu-penyu karah tidak diancam kepupusan,” katanya lagi.

MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES