Benarkan zakat dapat mewujudkan hubungan silaturrahim?

Benarkan zakat dapat mewujudkan hubungan silaturrahim?

Besar ganjaran dan manfaat jika kita lunas tanggungjawab zakat..

“ORANG yang menyambung silaturrahim itu, bukanlah yang menyambung hubungan yang sudah terjalin, akan tetapi orang yang menyambung silaturrahim ialah orang yang menjalin kembali hubungan persaudaraan yang sudah terputus.” (H.R. Muttafaqun ‘alaihi).

Islam sangat menuntut persaudaraan dan pertalian silaturrahim sesama umatnya. Dalam beberapa hadith telah ditegaskan bahawa sesiapa yang memutuskan tali silaturrahim maka dia tidak akan memasuki syurga. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam hadithnya yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga seorang pemutus, iaitu pemutus tali kekerabatan.”(H.R. Muttafaqun ‘alaihi)

Oleh yang demikian, dengan itu hubungan silaturrahim harus dijaga sebaik-baiknya mungkin agar tidak terputus dan juga tidak dihumban ke neraka kelak nanti. Bagi orang yang sentiasa menjaga hubungan silaturrahim dia akan selalu mengambil berat tentang saudaranya sama ada cukup makan, pakaian atau tempat tinggal.

Sebagai umat Islam kita seharusnya menitikberatkan hak asasi orang yang kurang berkemampuan, apa gunanya banyak harta tapi tidak mampu menolong saudara sesama Islam sendiri?Jadi renung-renungkanlah, janganlah kita terlalu cintakan harta benda sehingga terabai ibadah kita kepada Allah S.W.T.

Antara hikmah melunaskan zakat ini ialah bertujuan untuk menghubungkan di antara golongan kaya dan golongan miskin dengan ikatan yang teguh supaya yang kaya tidak terus kaya dan yang miskin tidak terus miskin. Maka tercetuslah rasa cinta dan kasihnya terhadap golongan kaya dan mengharapkan agar hartanya sentiasa bertambah dan memperolehi keberkatan setelah mereka menginfaqkan hartanya ke jalan Allah S.W.T. Sebagaimana dalam hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Barangsiapa yang inginkan untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”(H.R. Bukhari & Muslim)

Sehubungan dengan itu, Allah S.W.T. mewajibkan zakat ke atas manusia kerana ibadah ini ianya dapat menghiasi sifat dalam diri supayaberkorban dan berbakti semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T. Selain itu juga, ianya dapat membersihkan dan menyucikan hati mereka daripada sifat tamak, kedekut, menghambakan kepada harta dan dapat menjauhi segala sifat keji yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Di samping itu, ibadah zakat yang kita laksanakan ini dapat memberi sinar kehidupan asnaf yang dibantu supaya mereka tidak melahirkan sifat cemburu, iri hati dan dengki kepada golongan kaya yang berharta serta tidak akan menyalahkan takdir atas kesusahan yang dialami oleh mereka yang dalam kesusahan. Ini adalah ketentuan dari Allah S.W.T. dalam menguji manusia supaya taat dan akur dengan perintah Allah S.W.T.Jadinya, dengan itu kita mestilah membantu saudara sesama Islam yang kurang berkemampuan dalam meneruskan kehidupan mereka dengan lebih sempurna dan sejahtera, sekaligus dapat menjalinkan silaturrahim dan tali persaudaraan yang baik sesama umat Islam.

Justeru itu, ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini membawa seribu makna dan sejuta harapan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menunaikan kewajipan berpuasa serta dapat melengkapkan persiapan pada 1 syawal untuk menyambutnya seterusnya dapat mengeratkan hubungan sesama manusia antara golongan kaya dan golongan miskin dalam bantuan yang telah dihulurkan, bagi meringankan bebanan kehidupan mereka dalam menyambut hari yang mulia dan penuh berkat.

Secara kesimpulannya,masyarakat yang mampu dalam menunaikan ibadah zakat yang wajib dilaksanakan dan dituntut oleh syariat Islam tanpa keraguan. Keadaan ini akan menggalakkan golongan asnaf yang dibantu dapat meningkatkantaraf kehidupan mereka dan secara tidak langsung ekonomi umat Islam akan lebih bertambah mantap sekaligus memantapkan juga ekonomi negara Islam secara menyeluruh. In Shaa Allah.

 

Harith Bin Hassan
Eksekutif Dakwah Zakat,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka

 

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka dengan Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS